Memaparkan catatan dengan label accounting prospect. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label accounting prospect. Papar semua catatan

Bidang perakaunan janjikan prospek kerjaya lebih meluas

Ditulis oleh Dr Noorul Azwin Md Nasir

Pensyarah Kanan (Perakaunan dan Kewangan) di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Kerjaya akauntan bukanlah satu-satunya pilihan yang ada selepas menamatkan pengajian dan jurusan perakaunan di menara gading. Namun, yang pasti bidang perakaunan menjanjikan masa depan yang cerah.

Realitinya, Malaysia masih kekurangan akauntan bertauliah berdaftar. Berdasarkan statistik Institut Akauntan Malaysia (MIA) - organisasi yang mempunyai kuasa mutlak ke atas pengiktirafan pembangunan profesion akauntan serta program pengajian perakaunan di institusi pengajian tinggi Malaysia - profesion sebagai akauntan bertauliah di Malaysia dianggap kritikal.

Negara menyasarkan untuk mempunyai 60,000 akauntan bertauliah, namun Malaysia masih di angka sekitar 36,000 ahli berdaftar.

Hari ini, teknologi semakin giat berkembang dan bertambah moden. Banyak bidang pekerjaan diambil alih teknologi kecerdasan buatan (AI) menjelang Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0). Tidak dinafikan profesion perakaunan turut merasa impaknya.

Namun dalam aspek perakaunan, sistem perisian dan teknologi membawa bidang itu ke tahap lebih tinggi seiring keperluan semasa.

Ketika mengikuti pengajian perakaunan, pelajar didedahkan ilmu penyediaan dokumentasi transaksi kewangan organisasi, cara penyimpanan, merekod dan seterusnya menyediakan penyata kewangan.

Pelajar kemudiannya didedahkan kemahiran menyemak, menganalisis dan memberi maklum balas secara konstruktif terhadap dapatan dari pelaporan kewangan itu.

Bukan sekadar memahami nombor, pelajar jurusan perakaunan didedahkan tugasan dan ilmu kemahiran insaniah di mana mereka mempelajari cara menyampaikan maklumat kepada pemegang taruh sesebuah organisasi.

Ciri dan sifat akauntan dibentuk semasa tempoh pengajian jurusan perakaunan iaitu berintegriti, berkredibiliti dan akauntabiliti membolehkan graduan menceburi pelbagai sektor dan industri.

Maka, walaupun memilih untuk tidak menjadi akauntan bertauliah, dia masih memiliki ciri-ciri akauntan dalam diri. Pembentukan nilai diri daripada ilmu perakaunan diperoleh semasa pengajian boleh digunakan dalam begitu banyak aspek kehidupan.

Umum perlu tahu, ramai graduan perakaunan hari ini melangkah jauh memegang jawatan tertinggi dalam sesebuah organisasi, bukan lagi sekadar menjadi akauntan, juruaudit, pegawai percukaian, penganalisa kewangan, pegawai bank, penganalisa pelaburan atau mungkin juga pensyarah.

Antaranya, jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Naib Canselor di universiti, Ketua Pegawai Risiko mahupun Ketua Pegawai Operasi.

Daripada senarai perjawatan ini, tiada pemakluman ilmu perakaunan diperlukan untuk menjawat jawatan itu, namun sebagai akauntan bertauliah, mereka terpilih menjawat jawatan tertinggi dalam sesebuah organisasi.

Kenapa? Tentunya mereka memiliki kemahiran diperlukan untuk memimpin sesebuah organisasi.

Perakaunan tidak lagi dilihat jabatan dalam organisasi, bahkan sebagai pakatan dan rakan kongsi. Ini kerana ia boleh memberikan gambaran keberkesanan sesebuah organisasi dengan lebih menyeluruh berlandaskan fakta disokong piawaian dan dasar diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Melihat kepentingan akauntan dalam organisasi, etika dan profesionalisme sangat dititikberatkan. Ia satu kemahiran insaniah yang dibina semasa seseorang mengikuti pengajian dalam bidang perakaunan.

Jika seseorang graduan jurusan perakaunan memilih bekerja sendiri dan mencipta peluang pekerjaan pula, semestinya perniagaan mereka memiliki kelebihan tersendiri. Seperti diketahui, ilmu perniagaan dan keusahawanan haruslah disokong kemahiran menguruskan kewangan.

Pengetahuan asas dalam matematik adalah pengetahuan am dalam kehidupan. Apabila digabungkan pemahaman ke atas piawaian dan dasar dalam pelaporan kewangan dan perakaunan, ia menjadi kunci pelaksanaan tanggungjawab dengan berintegriti, profesionalisme dan beretika.

Apabila kemahiran pemikiran analitikal digabungkan dengan konsep profesionalisme dan integriti, ia membentuk individu yang boleh memberikan pandangan kritikal. Gabungan ilmu ini dapat dipraktikkan sangat meluas dalam kehidupan harian.

Apa jua dibahaskan, kewujudan sesuatu profesion disebabkan adanya permintaan dan keperluan. Jurusan perakaunan akan kekal relevan dan bermanfaat, selagi mana setiap subjek ditawarkan serta pengisian program dalam tempoh pengajian seiring permintaan dan keperluan semasa.

Sumber : Berita Harian