Memaparkan catatan dengan label UPSI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label UPSI. Papar semua catatan

UPSI tawar akses Perpustakaan Digital kepada pelajar dan masyarakat

 

Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) digalak menggunakan Perpustakaan Digital sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, ketika ini.

Pemangku Ketua Pustakawan, Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB) UPSI, Noriha Muhammad, berkata perkhidmatan itu disediakan PTB selepas menyedari kekangan pembelajaran berikutan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, semua pelajar universiti kini boleh mengakses secara percuma semua kandungan digital yang terdapat dalam UPSI Digital Repository (UDRep) sepanjang tempoh PKP.

"Terdapat sebanyak 4,297 judul dalam UDRep, yang terdiri daripada tesis pelajar siswazah master dan PhD, artikel jurnal, hasil penyelidikan pensyarah, seksyen buku, kertas persidangan, buku, laporan tahunan dan projek tahun akhir," katanya.

Noriha berkata, akses penuh kandungan digital bukan sahaja boleh diakses oleh pelajar universiti di Malaysia, tetapi ia turut boleh diakses oleh pelajar universiti di seluruh dunia.

Akses penuh dengan melayari laman web di https://ir.upsi.edu.my. itu, katanya, membolehkan semua pelajar universiti menggunakan bahan digital untuk tujuan pembelajaran dan penyelidikan.

Beliau berkata, pelajar juga boleh mengakses laman web Perpustakaan Tuanku Bainun di https://pustaka.upsi.edu.my.

Katanya, pautan kepada bahan bacaan secara percuma juga disediakan bagi memudahkan pengguna mendapatkan lebih pilihan maklumat.