Memaparkan catatan dengan label Petua. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Petua. Papar semua catatan

Lelaki kongsi tips bertahun-tahun menang hadiah lumayan


 
Apabila kita menyebut mengenai pertandingan, ada di antara kita yang mungkin menganggapnya sebagai penipuan atau merasa diri tidak cukup bernasib baik. Namun, bagi sesetengah individu yang terpilih, memenangi pelbagai hadiah menarik dari pertandingan adalah satu pengalaman yang membanggakan.
Itulah yang terjadi kepada seorang individu bernama Mohd Amin, yang telah berkongsi beberapa gambar momen memenangi hadiah utama dari pertandingan sejak beberapa tahun yang lalu.
Selain memenangi wang tunai berjumlah puluhan ribu ringgit, beliau juga berkongsi mengenai perkakasan mahal, percutian ke luar negara, dan yang terbaru, sebuah kereta X70 melalui pertandingan Proton.

Malah, dia berkata kereta X70 yang dimenangi menerusi peraduan itu adalah hadiah paling best dan masih digunakan sehingga kini. Sementara hadiah gajet lain telah pun dijual atau diberikan kepada adik beradiknya lain.
Dalam pada itu, dia turut mendedahkan masih giat aktif di dalam hobi dunia peraduan atau pertandingan yang diadakan oleh penganjur di luar sana.
Hantaran lelaki itu sememangnya menarik perhatian pengguna di platform TikTok yang mana majoritinya meminta tips bagaimana mahu menjadi ‘bertuah’ sepertinya.

Ramai juga berseloroh mengatakan diri mereka tergolong dalam individu yang mustahil untuk menang sesebuah peraduan yang disertai.

Lelaki itu lantas menjawab bahawa tiada tips atau senjata yang ampuh untuk memenangi hadiah lumayan menerusi sesebuah peraduan.

Bagaimanapun, Tuan Amin telah berkongsi 10 tips untuk menyertai peraduan dengan betul dan berpeluang memenangi hadiah jika sudah tertulis rezeki padanya.

1. Cari kawan kaki contest
Memiliki kawan-kawan yang mempunyai minat yang sama, dapat meningkatkan semangat dalam menyertai peraduan, selain berkongsi pelbagai idea bernas dan informasi tentang peraduan terkini.

2. Karya kreatif dan inovatif
Untuk peraduan cipta logo/fotografi kreatif/melukis, anda perlu tonjol kreativiti yang lain daripada yang lain, di samping menfokuskan produk/barang yang ingin ditonjolkan.

3. Usaha lebih gigih
Rajin mempelajari sesuatu yang baharu untuk memberikan kelainan. Jadikan penyertaan daripada para pemenang utama sebagai sumber rujukan atau inspirasi.

4. Sedia peruntukan wang
Kebanyakkan syarat peraduan adalah dengan membeli proudk jenama penganjur, maka anda mesti sanggup membelanjakan wang untuk sertai dan juga untuk prop atau peralatan supaya karya tampil lain daripada yang lain.

5. Peraduan media sosial
Seterusnya, anda perlu hantar penyertaan peraduan atas talian ketika di penghujung tarikh tutup untuk mengelakkan penyertaan terbabit ditiru oleh pesaing lain.

6. Doa dan tawakal
Jangan meletakkan harapan kemenangan terlalu tinggi jika kita kalah, kita akan rasa sangat kecewa. Jadi, sentiasa berdoa lalu mengganggap kemenangan sebagai rezeki.

7. Jangan putus asa
Untuk setiap kekalahan, jangan berputus asa dan sentiasa terus mencuba dan belajar daripada orang-orang yang hebat. Namun, dia menegaskan bukanlah dengan meniru tetapi cari identiti sendiri.

8. Baca terma dan syarat
Ini sangat penting supaya anda memahami lebih terperinci tentang peraduan tersebut. Pembatalan penyertaan akibat kesilapan teknikal boleh dielakkan.

9. Jangan umum terlalu awal
Jika anda diumumkan sebagai pemenang, simpan dahulu berita gembira ini sehingga anda sudah dapat hadiah kemenangan anda. Kadang-kadang kala ada yang tidak berpuas hati akan kemenangan kita.

10. Kongsi rezeki kemenangan
Akhir sekali, kongsi rezeki dengan insan yang banyak membantu dalam karya dan penyertaan anda. Apabila kita berkongsi rezeki, kita akan dilimpahi dengan rezeki lain juga.

Konklusinya, tidak wujudlah istilah kabel lagi selepas ini kerana kita semua sebenarnya memang berpeluang memenangi hadiah seperti tuan Amin ini.
Sumber dari Sarang Burung
.

Petai berfungsi sebagai ejen antioksidan

 


Mengikut kajian, buah petai yang berbintil-bintil pada papannya dikatakan mengandungi kadar protein dan lemak tinggi berbanding tumbuhan hutan lain.

Petai dikatakan mengandungi lapan peratus protein, 11 peratus karbohidrat, 71 peratus air serta banyak mengandungi kalsium, fosforus, zat besi, vitamin A, B1, B2 dan C.

Kandungan klorofil dalam biji petai berfungsi sebagai ejen antioksidan yang baik untuk kulit, memastikan kesegaran tubuh dan memperbaiki sistem penghadaman pengamal (makanan berasaskan petai).

Biasanya, petai dicicah dengan sambal untuk dimakan bersama nasi. Biji petai yang dikupas juga dijadikan sambal tumis bersama udang atau kerang.

Di kawasan kampung, pokok ini ditanam bagi mengawal hakisan dan sebagai bahan makanan ternakan.

Pokok petai berbuah dua kali setahun iaitu pada Mac hingga April dan Ogos hingga September.

Pokoknya biasanya ditanam menggunakan biji benih dan keratan batang. Pokok petai adalah pokok saka yang besar dan rendang serta boleh tumbuh setinggi 30 meter.

Batangnya lurus, berwarna kelabu keperang-perangan, licin manakala bentuk silaranya rendang dan terbuka.

Buah petai terdapat dalam deretan panjang dan nipis dikenali sebagai papan atau lenggai.

Panjang lenggai ialah 35 hingga 50 sentimeter (sm) dan lebarnya tiga hingga lima sm.

Setiap lenggai buah mempunyai antara 12 hingga 15 biji benih tersusun memanjang, mempunyai kulit yang tebal tetapi lembut.

Lenggai ini buncit mengikut saiz biji. Bijinya berbentuk ovoid bersaiz 1 hingga 2.5 sm.

Buah delima bantu cegah sembelit dan pelupa

 


Buah delima kaya pelbagai khasiat untuk kesihatan

Delima antara buah-buahan terbaik kerana banyak manfaat kesihatan dan kaya dengan pelbagai khasiat.

Menurut Ketua Pakar Diet, Jindal Naturecure Institute, Sushma PS, berkata delima kaya dengan antioksidan terutamanya polifenol dan antosianin.

Katanya, sebatian ini membantu meneutralkan radikal bebas dalam badan, mengurangkan tekanan oksidatif dan keradangan

Delima adalah sumber nutrien penting yang baik termasuk mengandungi vitamin C, kalium dan serat.

"Delima juga mengandungi serat makanan untuk meningkatkan kesihatan pencernaan dengan menyokong pergerakan usus secara teratur dan mencegah sembelit," katanya.

Manfaat lain buah delima

Buah delima boleh memberi manfaat kepada pelbagai keadaan yang berkaitan dengan keradangan termasuk penyakit arthritis dan gangguan keradangan lain.

Menurut pakar diet, ada bukti yang menunjukkan bahawa pengambilan buah delima mungkin memberi kesan positif pada ingatan dan fungsi kognitif yang berpotensi mengurangkan risiko penyakit neurodegeneratif seperti Alzheimer atau pelupa.

Delima mengandungi sebatian dengan sifat antibakteria dan antivirus, yang boleh membantu meningkatkan sistem imun dan melindungi daripada jangkitan.

"Buah ini agak rendah kalori dan boleh menjadi makanan ringan yang baik menjadikannya pilihan yang sesuai bagi mereka yang ingin menguruskan berat badan mereka," kata.

Petua memilih buah delima masak

* Cari yang saiznya berat : Ia lebih berair dan mempunyai kulit licin dan tidak bertanda.

* Cara menyimpan buah delima - Simpan di tempat sejuk dan kering atau di dalam peti sejuk agar segar lebih lama.

Kegunaan lain buah delima:

* Teh delima: Buat Teh dengan kulit kering untuk minuman yang sihat.

* Cuka delima: Gunakan kulit dan biji untuk membuat cuka masam untuk memasak.

* Serbuk delima: Keringkan dan kisar kulitnya untuk membuat serbuk bagi menambah khasiat pada makanan dan minuman.

Petua Lambatkan Penuaan Hingga Enam Tahun

 



Sekumpulan saintis mendedahkan lapan langkah kesihatan yang dikatakan mampu melambatkan proses penuaan badan sehingga enam tahun.

Pakar dari Amerika Syarikat (AS) berpandangan mengekalkan berat badan, gula dalam darah, kolesterol dan tekanan darah dalam kawalan, sambil mengamalkan tidur dan pemakanan sihat, melakukan aktiviti senaman dan tidak merokok mungkin boleh melambatkan proses penuaan sekitar enam tahun.

Lapor The Guardian, satu kajian menunjukkan kesemua langkah berkenaan menggalakkan kesihatan jantung yang baik sekaligus mampu memperlahankan kadar penuaan biologi sehingga enam tahun.

Kajian itu berdasarkan data daripada lebih 6,500 orang dewasa dengan purata umur 47 tahun.

Penemuan itu dibentangkan pada persidangan Sesi Saintifik Persatuan Jantung Amerika (AHA) di Philadelphia.

Para penyelidik menyatakan individu yang mempunyai kesihatan kardiovaskular baik adalah kira-kira enam tahun lebih muda secara biologi berbanding usia sebenar mereka.

“Penemuan ini membantu kita memahami kaitan antara umur kronologi dan umur biologi serta bagaimana mengikuti tabiat gaya hidup sihat yang boleh membantu individu hidup lebih lama.

“Semua orang mahu hidup lebih lama namun apa yang penting adalah hidup sihat lebih lama supaya kita dapat menikmati dan mempunyai kualiti kehidupan yang baik selama bertahun-tahun lama yang mungkin,” kata ketua kumpulan penulis Life’s Essential 8, Donald Lloyd Jones.

Life’s Essential 8 yang merupakan alat penilaian kesihatan AHA, bertujuan mentakrifkan kesihatan jantung berdasarkan masing-masing empat langkah gaya hidup dan empat penanda kesihatan yang boleh diubah suai.

Untuk mengukur umur fenotip atau biologi individu, para penyelidik memeriksa tahap metabolisme serta fungsi organ.

Selepas mengambil kira faktor sosial, ekonomi dan demografi, pasukan penyelidik berkata, individu yang mempunyai skor Life’s Essential 8 tertinggi dikaitkan dengan umur biologi kira-kira enam tahun lebih muda.

Sumber : Utusan


Petua Awet Muda dan Kulit Cantik

 



Amalan minum air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari bukan saja penting untuk kesihatan badan, malah dapat membantu mengekalkan kecantikan kulit dan keanjalannya supaya kelihatan awet muda.

Dengan mengambil minuman air kosong yang mencukupi, ia dapat memastikan organ badan termasuk kulit berfungsi sewajarnya.

Selain itu, terdapat beberapa petua lain yang boleh diamalkan untuk memastikan kulit kekal sihat dan cantik.

Petua mudah yang boleh diamalkan:

* Cuci muka dengan air bersih sebelum tidur

Jika muka tidak dibersihkan, kotoran dan bakteria pada muka boleh menyebabkan jerawat dan timbulnya garis penuaan pramatang.

Setiap kali selepas mencuci muka, amalkan penggunaan penyegar (toner) disusuli krim pelembap bagi membekalkan kelembapan pada wajah.

Pastikan muka anda dibersihkan sebelum memulakan senaman kerana apabila berpeluh, ia akan mengurangkan kotoran serta bakteria yang terkumpul.

* Oleskan krim tabir suria

Apabila keluar rumah, jangan lupa untuk lindungi wajah dengan krim pelindung matahari SPF 15 bagi melindungi kulit daripada terbakar.

* Ambil vitamin C

Ambil vitamin C, bagaimanapun ia tidak bermakna anda perlu minum jus oren setiap pagi.

Jika boleh, pilih produk penjagaan kulit yang mengandungi vitamin C. Bahan antioksidan yang sangat mujarab ini memberi perlindungan kepada kulit anda daripada faktor alam sekitar yang memudaratkan dan menggalakkan pengeluaran kolagen.

Dengan kolagen secukupnya, kulit anda bukan saja akan kekal gebu dan menarik, malah dapat mengekalkan kelembapannya supaya ia sentiasa tampak segar, sihat dan berseri.

* Buang tabiat buruk

Anda mungkin mempunyai satu atau dua tabiat buruk yang tanpa disedari boleh memudaratkan kulit anda dan mengurangkan tahap penghidratannya.

Antara tabiat buruk yang perlu dihentikan seperti merokok, minum alkohol secara berlebihan dan pengambilan terlalu banyak kafein yang boleh menjejaskan kelembapan kulit anda.

Lama-kelamaan kulit anda akan berkedut dan kendur. Jadi buang tabiat buruk ini atau hadkan ke tahap minimum demi kesihatan dan kecantikan kulit anda.

* Makan secara sihat

Mengamalkan diet yang sihat dan seimbang cara terbaik untuk menjaga kesihatan kulit.

Apabila anda memberikan nutrien dan vitamin untuk keperluan dalaman badan anda, kesannya akan dapat dilihat di luar. Untuk itu, pastikan badan anda mendapat asid lemak secukupnya untuk membantu mengekalkan penghidratan dan keanjalan kulit.

* Hadkan pendedahan kepada cahaya

Sinaran sinar ultraungu (UV) atau alam sekitar yang berbahaya boleh menjejaskan kulit. Antara yang boleh menjejaskan tahap kelembapan kulit anda termasuk sinar matahari, kepanasan keterlaluan dan kesejukan keterlaluan.

Apabila musim bertukar, pastikan perlindungan yang sewajarnya untuk kulit anda supaya ia tidak menjadi mangsa.

* Dapatkan produk bantu memperbaiki kulit wajah

Beberapa jenis produk yang boleh meningkatkan kecantikan kulit iaitu losyen, pelembap, penyegar, cecair penanggal solekan dan bahan sental wajah.

Jika kulit kering, gunakan produk yang tertera 'untuk kulit kering' atau 'untuk kulit sensitif'.

Jauhi produk jenis sabun yang akan menyebabkan kulit bertambah kering kerana kebanyakan sabun seperti sabun mandi boleh menyebabkan kulit kering.

Mungkin ada yang sesuai dengan sabun tertentu tetapi belum tentu sesuai dengan anda kerana setiap orang memiliki tahap sensitiviti kulit yang berbeza.

Elakkan mandi terlalu lama atau menggosok sabun pada kulit terlalu lama juga boleh menyebabkan kulit menjadi kering.

Malah, penggunaan air panas untuk mandi juga boleh menyebabkan kulit kering. Jadi cara terbaik gunakan air bersih.

Jika air di persekitaran anda kualitinya kurang baik, sebaik-baiknya tapis terlebih dulu dengan alat penapis air bersih.




Petua hilangkan pijar cili

 


Seorang doktor berkongsi petua bagi mengelakkan tangan menjadi pijar selepas memegang cili.

Perkongsian Doktor Kamarul Ariffin Nor Sadan di media sosial itu mendapat perhatian orang ramai terutamanya golongan wanita yang tidak sabar mencuba petua tersebut.

Menurutnya, tangan menjadi pijar selepas memegang cili kerana ia mengandungi capsaicin yang akan merangsang reseptor deria sakit.

“Kalau terkena kulit, kita akan rasa pijar. Kalau terkena lidah kita akan rasa pedas.

“Capsaicin ini tidak larut air, kalau kita cuci tangan dengan air sahaja ia sukar ditanggalkan dari kulit kita,” katanya di media sosial hari ini.

Kata Kamarul Ariffin, capsaicin tersebut boleh larut dalam minyak atau lemak.

“Orang ramai boleh menggunakan susu berlemak yang mengandungi sejenis protin dipanggil casein yang akan memutuskan ikatan antara capsaicin dengan reseptor di kulit. Selepas cuci dengan susu, bilas dengan air sabun.

“Seterusnya, menggunakan minyak yang akan mencairkan capsaicin dan perlu dibilas dengan air sabun. Petua ketiga ialah cuka, ia bersifat alkali yang boleh meneutralkan kesan pijar. Boleh juga gunakan air asam, perahan limau atau sos tomato.

“Alkohol juga boleh digunakan, jadi, orang ramai boleh gunakan cecair pembasmi kuman berasaskan alkohol. Terakhir sekali ialah losyen berasaskan minyak untuk melarutkan capsaicin disusuli dengan bilasan air sabun untuk membuang losyen yang telah dicemari capsaicin tersebut,” jelasnya. 

Sumber dai Kosmo!