Memaparkan catatan dengan label Bursa Malaysia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bursa Malaysia. Papar semua catatan

Bursa Malaysia Derivatives perkenal kontrak hadapan mata wang


Bursa Malaysia Derivatives Bhd melancarkan kontrak hadapan mata wang pertamanya, Mini USD/CNH Futures (FCNH) yang membantu mengurangkan risiko kredit rakan niaga, serta menyediakan pasaran yang telus, terkawal dan mudah diakses.

Ketua Pegawai Eksekutif of Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift, berkata pelancaran FCNH menjadi kontrak hadapan mata wang dagangan tukaran sulung negara iaitu satu kemajuan penting dalam perkembangan pasaran modal Malaysia.

"FCNH melengkapkan pasaran mata wang sedia ada yang dikendalikan oleh institusi kewangan Malaysia," katanya ketika majlis pelancaran kontrak hadapan pertama Bursa Malaysia.

Yang turut hadir, Naib Presiden Hong Kong Exchanges and Clearing (HKEX), Narendra Hegde.

Mini FCNH yang menjadi kontrak hadapan mata wang pertama, dilancarkan menerusi perjanjian perlesenan dengan HKEX.

Ia direka sebagai kontrak bersaiz lebih kecil untuk traksaksi tunai, FCNH menawarkan pelabur cara yang cekap modal untuk mencapai lindung nilai mata wang renminbi China (RMB) ke atas pegangan pelaburan mereka kerana ia tidak memerlukan pelabur menukar jumlah awal yang dilaburkan.

Muhamad Umar berkata, dengan pengenalan akses aset baharu dalam tawaran Bursa Malaysia Derivatives itu memberi peluang kepada peniaga berdagang merentasi pasaran derivatif Hong Kong dan Malaysia.

"Ini akan sangat berguna kepada peserta seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pemilik perniagaan yang membuat transaksi di China. Ia akan melindung nilai risiko terhadap turun naik dolar Amerika Syarikat (AS) dan RMB luar pesisir," katanya.

Beliau menjelaskan, pengenalan FCNH juga adalah strategik dan sejajar dengan perjanjian pelesenan Bursa Malaysia dengan Dalian Commodity Exchange (DCE) berhubung harga penyelesaian niaga hadapan minyak kacang soya untuk Kontrak Hadapan Minyak Kacang Soya DCE Bursa Malaysia (FSOY) baru-baru ini, dengan produk baharu itu akan disenaraikan di Bursa Malaysia Derivatives pada tahun depan.

"FCNH akan menjadi pelengkap dan berfungsi sebagai alat lindung nilai mata wang kepada peserta pasaran yang berminat dalam dagangan FSOY yang akan didenominasikan dalam dolar AS.

"Pelancaran FCNH adalah tepat pada masanya memandangkan ketidaktentuan semasa dalam pasaran global, yang telah menyebabkan peningkatan permintaan dalam kalangan peserta pasaran dan perniagaan untuk menguruskan pendedahan pertukaran mata wang asing mereka.

"Perjanjian pelesenan kami dengan HKEX untuk FCNH dan kerjasama produk dengan DCE adalah bukti komitmen Bursa Malaysia Derivatives untuk menjalin pakatan strategik dan memperdalam hubungan pasaran global.

"Kami optimis bahawa usaha ini akan membolehkan peserta pasaran mengemudi dengan berkesan kerumitan pasaran antarabangsa dan menguruskan risiko merentas pasaran dengan cekap," katanya.

FCNH ialah kontrak yang menggunakan transaksi tunai dalam denominasi RMB.

Harga penyelesaian akhir merujuk kepada harga penyelesaian akhir mini-USD/CNH HKEX.

Peserta pasaran boleh berdagang FCNH semasa sesi dagangan pagi dan petang (jam 900 pagi hingga 6 petang) waktu Malaysia dari Isnin hingga Jumaat dan sesi dagangan selepas waktu (T+1) (jam 9 pagi hingga hingga 2.30 pagi waktu Malaysia (Isnin hingga Khamis).

Sumber dari Berita Harian