Memaparkan catatan dengan label Agama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Agama. Papar semua catatan

Harus renjis, bilas kenderaan dengan air ruqyah - Mufti

 


Hukum merenjis atau membilas kenderaan dengan air dibaca ruqyah mengandungi ayat al-Quran dan zikir adalah dibenarkan dan diharuskan dalam syarak, jelas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

-ADVERTISEMENT-

Penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan itu susulan polemik di media sosial mengenai video tular seorang ulama dari Pattani, Thailand merenjis air ke kereta hingga ada warganet menganggapnya khurafat dan tidak dilakukan Nabi Muhammad SAW serta sahabat.

"Setiap umat Islam dituntut untuk berikhtiar menjaga diri, keluarga dan hartanya daripada sebarang perkara yang tidak diingini seperti kecurian, kemalangan dan penyakit ain.

"Berkaitan penyakit al-ain, Nabi SAW pernah menyebut bahawa penyakit ini sesuatu yang benar dan apabila seseorang diminta untuk mandi bagi menyembuhkan penyakit itu, maka hendaklah dia mandi," katanya dalam satu petikan.

Penyakit ain itu benar

Nabi SAW bersabda: "Penyakit al-Ain itu benar. Jika ada sesuatu yang menjangkaui qadar makan 'ain yang dapat menjangkauinya. Jika diminta kepada kamu untuk mandi (sebagai penyembuhan), maka hendaklah kamu mandi. (HR Muslim).

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa sebahagian ulama menyebutkan penyakit 'ain juga menimpa kepada haiwan dan benda-benda tidak bernyawa seperti pokok, batu, kereta dan seumpamanya.

"Terdapat pelbagai cara untuk melindungi diri daripada penyakit 'ain seperti membaca ruqyah dan doa.

"Ibn Kathir dalam tafsir menyebut sebahagian daripada salaf, apabila mereka melihat sesuatu yang menakjubkan, mereka akan menyebut ما شاء لا قوة إلا بالله," katanya.

Mandi, bilas air untuk lindungi daripada penyakit ain

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengatakan bahawa memandikan atau membilas dengan air adalah satu ikhtiar lain untuk melindungi diri daripada penyakit 'ain.

"Ia berdasarkan sabda Nabi SAW 'jika diminta kepada kamu untuk mandi (bagi penyembuhan), maka hendaklah kamu mandi'.

"Hal ini juga diharuskan dengan cara merenjis-renjis air kepada perkara tidak bernyawa seperti rumah dan sebagainya," katanya.

Merujuk kepada petikan daripada kitab Mausu'ah Syar'iyyah fi Ilm al-Ruqa, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengatakan perbuatan membaca ayat Al-Quran, zikir dan ta'awwudz kemudian merenjis pada sesuatu tempat atau barang adalah dibenarkan oleh syarak dan bukan khurafat.

"Selain itu juga, sesuatu perkara yang tidak dilakukan Nabi SAW dan sahabat tidak semestinya perkara itu diharamkan oleh syarak.

"Terdapat banyak perkara yang harus dilakukan sekalipun Nabi SAW dan sahabat tidak melakukannya," katanya.

Menurutnya, perbahasan ini disebut sebagai al-tark iaitu sesuatu yang ditinggalkan oleh Nabi SAW sama ada dengan tujuan tertentu atau tidak.

"Sesetengah golongan sengaja menimbulkan kekeliruan dengan menjadikannya hujah jika sesuatu itu baik sudah tentu Nabi SAW dan sahabat terlebih dahulu akan melakukannya sedangkan perkara itu tidak benar.

"Berkaitan hal ini, Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari menyebutkan dalam kitabnya Husn al-Tafahhum wa al-Dark li Mas'alat al-Tark," katanya.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam petikan, berkata banyak perkara yang ditinggalkan Rasulullah SAW dan tidak menjadi haram atas pelbagai sebab seperti hukum memakan dhab.

"Nabi SAW pernah meninggalkan perbuatan memakan dhab walaupun dipelawa sahabat kerana ia bukan adat Baginda SAW.

"Bagaimanapun, baginda SAW tidak mengharamkan sahabat daripada memakannya," katanya.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa perbuatan merenjis atau membilas kenderaan yang dibaca zikir dan doa ruqyah bukan satu perkara khurafat.

"Ia adalah satu cara yang dibenarkan oleh syarak kerana tiada dalil melarangnya," katanya.

Sumber : Berita Harian

Bolehkah wanita berkuku panjang?






Tabiat menyimpan kuku panjang ini adalah merupakan perbuatan yang berlawanan dengan fitrah. Malah, ia bertentangan dengan sunnah Nabi s.a.w. Berbagai alasan dicipta semata untuk mengiyakan perbuatan memanjangkan kuku ini, antaranya adalah sebagai kecantikan dan yang anehnya adalah sebagai  senjata mempertahankan diri.
Persoalannya, boleh atau tidak wanita berkuku panjang dengan alasan sebagai senjata mempertahankan diri? Menjawab persoalan ini, Al Islam telah berjumpa dengan Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Muhammad Adib Samsudin bagi mengupas isu yang diketengahkan.
Menurut beliau, apabila kita berbicara persoalan berkaitan dengan kuku, kita tidak boleh lari daripada sabda Rasulullah s.a.w.
“Fitrah itu lima perkara, berkhitan, membuang bulu di sekitar kemaluan, mencabut bulu ketiak, mengerat kuku dan menggunting misai.” (HR Bukhari dan Muslim).
Berdasarkan hadis ini jelas menunjukkan bahawa memotong kuku itu merupakan fitrah dan disunatkan di dalam agama. Setiap Muslim yang  beriman kepada ajaran Nabi s.a.w. semestinya mengikuti saranan Nabi, hatta di dalam persoalan memotong kuku.
Oleh sebab itu, apabila Nabi mengangkat istilah memotong kuku ini di dalam sunnahnya, sewajarnya kuku itu dipotong sebelum terlalu panjang yang akan menimbulkan banyak permasalahan dari segi wudhu, mandi wajib dan kesihatan.
Dalam pada itu, seseorang itu juga dianggap cuai di dalam mematuhi perintah Nabi jika masih beralasan tidak ingin memotong kuku. Dengan demikian, sesuatu perkara yang berlawanan dengan sunnah Nabi s.a.w puncanya adalah nafsu. Hal ini kerana, pilihan untuk mengikuti sunnah dan nafsu itu adalah pilihan bebas dalam diri setiap manusia dan pilihan tersebut akan dipertangunggjawabkan kelak.
Betul ke sebagai senjata?
Apabila diajukan soalan berkaitan alasan wanita berkuku panjang sebagai senjata, jawab beliau, alasan berkuku panjang itu mungkin ada kewajarannya apabila dinilai pada satu sudut. Namun, keselamatan wanita itu bukan terletak pada kuku yang panjang sebenarnya. Hakikatnya, Islam telah mengajar untuk seorang wanita itu keluar ke mana-mana bersama mahramnya.
Jika tidak mampu bersama mahramnya sentiasa, Islam mengajar untuk membawa sahabat-sahabat wanita yang dipercayai untuk bersamanya. Berteman itu disaran dalam Islam untuk menjaga keselamatan sesama wanita bukannya dengan cara yang melanggar cadangan dan adab yang dikatakan dalam Islam disunatkan memotong kuku.
Jika kuku tidak dipotong, akan menjadi permasalahan pula dari sudut kesihatan. Kerana kuku yang tidak dipotong akan menjadi tempat persinggahan kuman dan bakteria yang melekat dicelah-celah kuku berkenaan. Di sini keselamatan diri dari aspek kesihatan itu lebih terjamin dengan kuku yang pendek.
Selanjutnya, apabila kuku kita tidak panjang kita akan dapat mengelakkan diri kita daripada meletakkan pewarna kuku yang boleh menggangu wudhu dan mandi wajib. Jadi kecenderungan untuk meletakkan pewarna itu tidak ada. Malah, ia tidak akan menarik perhatian lelaki untuk mengangu wanita berkenaan.
Perlu dimaklumi bahawa ganguan wanita itu melibatkan banyak aspek seperti aurat tidak ditutup dengan sempurna, pergaulan bebas dan sebagainya. Sebab daya tarikan wanita ini ada banyak sebab disebabkan keseluruhan badan wanita itu adalah aurat. Aurat disini bermaksud menjadi keseluruhan tubuh wanita itu adalah daya tarikan lelaki.
Aspek tubuh badannya, mukanya, tangannya termasuk kuku dan sebagainya. Sebagai contoh, ada kes perempuan yang mengandung sekalipun, diserang secara seksual dengan alasan perempuan itu mengandung menjadi tarikan kepada lelaki yang meletakkan nafsunya di atas akal dan iman.
Ganguan itu boleh berlaku dalam berbagai sebab dan faktor. Dengan itu, untuk memastikan keselamatan yang berterusan bagi kaum wanita adalah dengan mengikuti cara yang di ajarkan Islam, bukan dengan mencari jalan yang lain seperti berkuku panjang.
Membezakan manusia baik dan jahat
Ada juga ulama membahas secara ilmiahnya di antara hikmah kuku itu dipotong. Antaranya adalah untuk membezakan antara manusia yang baik dengan manusia yang tidak baik.
Sebagai contoh jika kita hendak melihat seseorang itu berakhlak baik, lihat juga pada kukunya, kerana seseorang yang berakhlak itu semestinya menjaga kebersihan kukunya apatah lagi dirinya keseluruhan. Hal ini kerana Islam juga mengajar umatnya untuk menjaga kebersihan. Sabda Rasulullah s.a.w.
“Kebersihan (suci) itu adalah sebahagian daripada Iman…”(HR Muslim) .
Ujar Adib, hikmah lain adalah untuk mengelakkan sifat-sifat yang tidak baik yang ada daripada makhluk-makhluk yang bukan manusia seperti binatang buas yang juga berkuku panjang . Hal ini bersangkut paut dengan bagaimana manifestasi seorang itu beriman adalah daripada pembentukan peribadi dan fizikal yang baik antaranya adalah dengan memotong kuku dan menjaga kebersihan diri.
Lain daripada itu adalah berkaitan kuku yang mana patut dipotong dahulu adalah tidak ada nas yang kuat dalam permasalahan ini melainkan panduan ulama sahaja.
Oleh yang demikian, digalakkan khususnya bagi wanita untuk tidak menyimpan kuku panjang. Bagi yang belum berkahwin, ia boleh mendatangkan banyak fitnah dan bagi yang sudah berkahwin, tangan dan jari itulah yang bakal menjaga suami dan anak-anak. Sekiranya tangan dipenuhi dengan kuman dicelah-celah kuku itu, bayangkan kesannya kepada keluarga. Ubahlah segera, kembalilah kepada fitrah yang indah. Wallahu a’lam
Sumber : UtusanTV

Jangan mudah terpengaruh dakwaan kedatangan Imam Mahadi

 


Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor meminta umat Islam tidak memberi perhatian yang berlebihan mengenai isu kedatangan Imam Mahadi.

Katanya, ini berikutan banyak dakwaan mengenai kelahiran Imam Mahadi oleh pelbagai pihak akhir-akhir ini, dibimbangi boleh mengelirukan masyarakat Islam, terutama mereka yang kurang dari segi pengetahuan agama.

Beliau berkata, umat Islam masih memiliki dua sumber sahih bagi dijadikan pedoman dan panduan kehidupan iaitu al-Quran dan Sunnah Nabawiyyah, maka berpegang kepada kedua-duanya sudah cukup bagi membangun kehidupan yang baik, maju dan mulia.

"Dalam kalangan masyarakat Islam termasuk di Malaysia, kepercayaan berhubung kelahiran Imam Mahadi ini bersumberkan puluhan hadis, antaranya ada yang sahih, namun kebanyakannya adalah daif," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Wan Salim berkata, dalil mengenai kelahiran Imam Mahadi yang dinanti itu sering dijadikan objek perbincangan dalam kalangan ulama, namun tiada dalil menunjukkan kepada kemustahilannya.

Katanya, kemunculan Imam Mahadi boleh dipercayai, namun sesiapa yang tidak percaya tidaklah jatuh kafir.

"Pada pandangan saya umat Islam tidak perlu memberi perhatian berlebihan berhubung isu ini dan mampu mengembalikan tamadun gemilang tanpa perlu menunggu kedatangan 'Sang Penyelamat' yang tidak diketahui secara pasti masa kemunculannya," katanya.

Wan Salim berkata demikian berikutan laporan media susulan keputusan Jabatan Mufti Negeri Sembilan (JMNS) menutup pusat pengamalan tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah pimpinan Habib Shah Firdaus Habib Ahmad di Kampung Batu 8 Labu, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Penutupan dibuat JMNS selepas menerima aduan tarekat itu melakukan perbuatan bercanggah dengan hukum syarak serta bercanggah dengan bentuk pengamalan tarekat tasawuf direkodkan dalam daftar mengikut perenggan 11(1)(h) Enakmen Tarekat Tasawuf Negeri Sembilan 2005.

Menurut Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, dakwaan Imam Mahadi akan muncul pada Hari Arafah tahun ini antara punca tarekat itu disiasat JMNS.

Dakwaan itu dimaklumkan oleh sebahagian pengikut tarekat berkenaan kepada JMNS selepas mereka mula menyedari pengamalan yang dilakukan Habib Shah Firdaus bertentangan dengan hukum syarak.

Sumber dari Berita Harian

Ayam jantan berkokok tanda kehadiran Malaikat

 

Semua orang pasti pernah mendengar ayam jantan berkokok tidak kiralah sama ada pada waktu siang ataupun malam.

Namun tahukah anda bahawa setiap kali ayam jantan itu berkokok menandakan ia sedang melihat malaikat.

Perkara ini adalah sahih seperti yang dikongsi bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri di laman Facebooknya hari ini.

Menurut Zulkifli ayam jantan berkokok disebabkan haiwan itu melihat malaikat adalah benar sebagaimana Rasulullah SAW menyebutnya di dalam hadith yang sahih.

Justeru katanya, kita digalakkan untuk berdoa kepada Allah SWT ketika kehadiran malaikat dengan harapan moga-moga Malaikat mengaminkan doa kita.

“Rasulullah SAW menjadikan bunyi kokok ayam jantan, sebagai tanda kebaikan, iaitu datangnya Malaikat dan kita dianjurkan berdoa.

“Hal ini menunjukkkan keistimewaan ayam jantan,” katanya.

Mengulas lanjut Zulkifli berkata, ayam jantan juga memiliki keistimewaan yang tidak dimiliki binatang lain, iaitu ia mengetahui perubahan waktu di malam hari.

“Dia berkokok di waktu yang tepat dan tidak pernah ketinggalan. Dia berkokok sebelum subuh dan selepas subuh, ia tidak pernah tersalah waktu.

“Sama ada pada malamnya yang panjang atau yang singkat. Oleh sebab itu, sebahagian ulama’ Syafi’iyah memfatwakan untuk berpegang bahawa ayam jantan mujarab dalam menentukan waktu,”ujarnya.

Sehubungan itu kata Zulkifli, kita dianjurkan berdoa ketika ayam berkokok adalah mengharapkan ucapan amin dari Malaikat untuk doa kita dan permohonan ampun mereka kepada kita, serta persaksian mereka akan keikhlasan kita.

Sumber dari Kosmo!

 

Doa Akhir Tahun 1430 & Awal Tahun 1431 Hijrah

DOA AKHIR TAHUN

Sempena akhir tahun hijrah pada petang 17 Disember 2009 (30 Zulhijjah 1430), kita dianjurkan supaya berdoa pada waktu asar. Dibaca 3 kali pada penghujung waktu Asar, sebelum masuk waktu Maghrib. Dengan izin Allah, orang yang berdoa akan mendapat perlindungan Allah dari fitnah dan tipu daya syaitan dari semua dosa selama setahun yang lalu.


Maksudnya:

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Semoga Allah cucurkan Rahmat dan sejahtera atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW serta keluarga dan sahabat-sahabat baginda sekalian.

Ya Allah wahai Tuhanku, perkara-perkara yang telah aku lakukan daripada perbuatan-perbuatan yang Engkau larang dalam tahun ini maka aku belum bertaubat daripadanya padahal Engkau tidak meredhainya dan Engkau tidak melupakannya (Tuhan yang tidak bersifat lupa) dan Engkau berlembut tidak mengazabku malah memberi peluang supaya aku bertaubat selepas aku melakukan maksiat itu. Maka aku memohon keampunanMu.

Ya Allah, ampunilah aku dan mana-mana perbuatan yang telah aku lakukan sepanjang tahun ini yang Engkau redhai dan yang telah Engkau janjikan pahalanya. Maka aku mohon diperkenankan perbuatan (amal bakti) yang telah aku lakukan itu dan Engkau tidak menghampakan harapanku. Ya Allah yang Maha Pemurah .

Semoga Allah cucurkan Rahmat dan sejahtera atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW serta keluarga dan sahabat-sahabat baginda sekalian.



DOA AWAL TAHUN


Dibaca sebanyak 3 kali selepas solat Maghrib 17 Disember 2009 iaitu bersamaan dengan 1 Muharram 1431 Hijrah.

Maksudnya:

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.

Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.