Jumaat, September 09, 2022

Bolehkah wanita berkuku panjang?






Tabiat menyimpan kuku panjang ini adalah merupakan perbuatan yang berlawanan dengan fitrah. Malah, ia bertentangan dengan sunnah Nabi s.a.w. Berbagai alasan dicipta semata untuk mengiyakan perbuatan memanjangkan kuku ini, antaranya adalah sebagai kecantikan dan yang anehnya adalah sebagai  senjata mempertahankan diri.
Persoalannya, boleh atau tidak wanita berkuku panjang dengan alasan sebagai senjata mempertahankan diri? Menjawab persoalan ini, Al Islam telah berjumpa dengan Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Muhammad Adib Samsudin bagi mengupas isu yang diketengahkan.
Menurut beliau, apabila kita berbicara persoalan berkaitan dengan kuku, kita tidak boleh lari daripada sabda Rasulullah s.a.w.
“Fitrah itu lima perkara, berkhitan, membuang bulu di sekitar kemaluan, mencabut bulu ketiak, mengerat kuku dan menggunting misai.” (HR Bukhari dan Muslim).
Berdasarkan hadis ini jelas menunjukkan bahawa memotong kuku itu merupakan fitrah dan disunatkan di dalam agama. Setiap Muslim yang  beriman kepada ajaran Nabi s.a.w. semestinya mengikuti saranan Nabi, hatta di dalam persoalan memotong kuku.
Oleh sebab itu, apabila Nabi mengangkat istilah memotong kuku ini di dalam sunnahnya, sewajarnya kuku itu dipotong sebelum terlalu panjang yang akan menimbulkan banyak permasalahan dari segi wudhu, mandi wajib dan kesihatan.
Dalam pada itu, seseorang itu juga dianggap cuai di dalam mematuhi perintah Nabi jika masih beralasan tidak ingin memotong kuku. Dengan demikian, sesuatu perkara yang berlawanan dengan sunnah Nabi s.a.w puncanya adalah nafsu. Hal ini kerana, pilihan untuk mengikuti sunnah dan nafsu itu adalah pilihan bebas dalam diri setiap manusia dan pilihan tersebut akan dipertangunggjawabkan kelak.
Betul ke sebagai senjata?
Apabila diajukan soalan berkaitan alasan wanita berkuku panjang sebagai senjata, jawab beliau, alasan berkuku panjang itu mungkin ada kewajarannya apabila dinilai pada satu sudut. Namun, keselamatan wanita itu bukan terletak pada kuku yang panjang sebenarnya. Hakikatnya, Islam telah mengajar untuk seorang wanita itu keluar ke mana-mana bersama mahramnya.
Jika tidak mampu bersama mahramnya sentiasa, Islam mengajar untuk membawa sahabat-sahabat wanita yang dipercayai untuk bersamanya. Berteman itu disaran dalam Islam untuk menjaga keselamatan sesama wanita bukannya dengan cara yang melanggar cadangan dan adab yang dikatakan dalam Islam disunatkan memotong kuku.
Jika kuku tidak dipotong, akan menjadi permasalahan pula dari sudut kesihatan. Kerana kuku yang tidak dipotong akan menjadi tempat persinggahan kuman dan bakteria yang melekat dicelah-celah kuku berkenaan. Di sini keselamatan diri dari aspek kesihatan itu lebih terjamin dengan kuku yang pendek.
Selanjutnya, apabila kuku kita tidak panjang kita akan dapat mengelakkan diri kita daripada meletakkan pewarna kuku yang boleh menggangu wudhu dan mandi wajib. Jadi kecenderungan untuk meletakkan pewarna itu tidak ada. Malah, ia tidak akan menarik perhatian lelaki untuk mengangu wanita berkenaan.
Perlu dimaklumi bahawa ganguan wanita itu melibatkan banyak aspek seperti aurat tidak ditutup dengan sempurna, pergaulan bebas dan sebagainya. Sebab daya tarikan wanita ini ada banyak sebab disebabkan keseluruhan badan wanita itu adalah aurat. Aurat disini bermaksud menjadi keseluruhan tubuh wanita itu adalah daya tarikan lelaki.
Aspek tubuh badannya, mukanya, tangannya termasuk kuku dan sebagainya. Sebagai contoh, ada kes perempuan yang mengandung sekalipun, diserang secara seksual dengan alasan perempuan itu mengandung menjadi tarikan kepada lelaki yang meletakkan nafsunya di atas akal dan iman.
Ganguan itu boleh berlaku dalam berbagai sebab dan faktor. Dengan itu, untuk memastikan keselamatan yang berterusan bagi kaum wanita adalah dengan mengikuti cara yang di ajarkan Islam, bukan dengan mencari jalan yang lain seperti berkuku panjang.
Membezakan manusia baik dan jahat
Ada juga ulama membahas secara ilmiahnya di antara hikmah kuku itu dipotong. Antaranya adalah untuk membezakan antara manusia yang baik dengan manusia yang tidak baik.
Sebagai contoh jika kita hendak melihat seseorang itu berakhlak baik, lihat juga pada kukunya, kerana seseorang yang berakhlak itu semestinya menjaga kebersihan kukunya apatah lagi dirinya keseluruhan. Hal ini kerana Islam juga mengajar umatnya untuk menjaga kebersihan. Sabda Rasulullah s.a.w.
“Kebersihan (suci) itu adalah sebahagian daripada Iman…”(HR Muslim) .
Ujar Adib, hikmah lain adalah untuk mengelakkan sifat-sifat yang tidak baik yang ada daripada makhluk-makhluk yang bukan manusia seperti binatang buas yang juga berkuku panjang . Hal ini bersangkut paut dengan bagaimana manifestasi seorang itu beriman adalah daripada pembentukan peribadi dan fizikal yang baik antaranya adalah dengan memotong kuku dan menjaga kebersihan diri.
Lain daripada itu adalah berkaitan kuku yang mana patut dipotong dahulu adalah tidak ada nas yang kuat dalam permasalahan ini melainkan panduan ulama sahaja.
Oleh yang demikian, digalakkan khususnya bagi wanita untuk tidak menyimpan kuku panjang. Bagi yang belum berkahwin, ia boleh mendatangkan banyak fitnah dan bagi yang sudah berkahwin, tangan dan jari itulah yang bakal menjaga suami dan anak-anak. Sekiranya tangan dipenuhi dengan kuman dicelah-celah kuku itu, bayangkan kesannya kepada keluarga. Ubahlah segera, kembalilah kepada fitrah yang indah. Wallahu a’lam
Sumber : UtusanTV

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts