Musim Bunga Sakura di Kuala Terengganu


Sekarang musim bunga (spring). Ini bukan di luar negara tapi di Jalan Haji Abdul Rahman Limbong, Kampung Banggol, Kuala Ibai, Terengganu (dekat Hazlan Futsal & Bistro). Terasa macam berada di Jepun. MBKT kena banyak tanam pokok ni. :)

Foto : Farid Engku Ali

Kenapa bil elektrik tinggi?


Di musim panas ini ramai yang mengadu bil elektrik TNB meningkat berkali-kali ganda. Kadar elektrik ditetapkan berbeza-beza mengikut tahap penggunaan. Jika semakin banyak digunakan, kadar caj akan semakin meningkat berlipat kali ganda.

 Jika kita hanya menggunakan 200 unit sebulan, kita hanya perlu bayar caj 200 x 21.80 sen = RM43.60 sahaja. Jika penggunaan 300 unit sebulan, 100 unit didarab dengan nilai yang lebih tinggi iaitu 100 x 33.40 sen = RM33.40 (100 unit kedua) + RM43.60 (200 unit pertama) = RM77.00. Bil elektrik kita akan bertambah berlipat kali ganda jika kita menggunakan elektrik melebihi 301 unit sebulan contohnya 400 unit sebulan, kadar caj adalah 100 x 51.60 sen = 51.60 (100 unit ketiga) + RM33.40 (100 unit kedua) + RM43.60 (200 unit pertama) = RM128.60. Kadar caj akan meningkat lagi kepada 54.60 sen seunit jika penggunaan melebihi 601 unit. Nampak tak kadar caj yang berbeza-beza?

 Cara terbaik untuk mengelakkan bil tinggi adalah dengan sentiasa mengawal penggunaan elektrik di rumah dengan menutup alat elektrik yang tidak perlu, cabut plug jika tidak digunakan dan hanya memasang penghawa dingin apabila perlu sahaja dengan suhu sekitar 25 - 27 darjah celcius. Tujuan penghawa dingin adalah untuk mengurangkan panas dan bukannya sampai kita berada di tahap beku.

KT Night Market


Masa kecil dahulu selalu datang ke Tanjung Che Mat Tauke sebab ia tempat asal arwah bonda. Sekarang tiada lagi penduduk di sini kerana ia dibangunkan untuk pembinaan Kuala Terengganu City Centre (KTCC).

Terletak berdekatan Hotel Grand Continental Kuala Terengganu, pasar malam eksklusif, 'KT Night Market' yang sedang dalam pembinaan di Kampung Tanjung, Kuala Terengganu ini dibina oleh kerajaan negeri di atas tapak berkeluasan 0.7 hektar, menyediakan 92 ruang niaga kepada peniaga tempatan.

Ia dilengkapi kemudahan seperti parking, tandas awam dan menara jam. 'KT Night Market' ini memberi peluang kepada peniaga memasarkan produk di lokasi yang strategik iaitu di kawasan bandar dan pusat tarikan pelancongan, di tepi muara Sungai Terengganu dan berdekatan 'drawbridge'.

Kredit : Zulfikran Mohd Salleh
Group Facebook Pembangunan Negeri Terengganu

Memandu Tengah Malam Di LPT 2

Foto : azeniahmad.com

Malam kelmarin berkesempatan memandu sekitar tengah malam di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2). Berdasarkan pemerhatian saya, tiada apa-apa benda pelik atau sebarang gangguan di sepanjang perjalanan di LPT 2.

Bilangan kereta pun sudah semakin banyak berbanding dahulu. Hentian R&R Perasing juga terang benderang dan meriah dengan lampu. Cuma agak terasa betapa membazirnya apabila hentian sebesar itu tiada pengunjung berbanding hentian besar yang lain seperti Gambang dan Temerloh.

Sentiasa berzikir dan jangan memandu laju melebihi 120 km/j kerana kelajuan itulah yang sebenarnya menjadi "hantu" yang membunuh manusia di LPT 2. Selamat memandu :)

Pusat Transformasi Bandar (UTC) Terengganu


UTC Terengganu akan dibuka di Aras 1 - 4, Paya Bunga Square (PB Square) dan Aras 4, Plaza Paya Bunga (gambar). Ia akan dihubungkan dengan jejantas udara.

24 agensi kerajaan persekutuan dan negeri akan ditempatkan di UTC Terengganu antaranya, Kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis Diraja Malaysia, Tabung Haji, Indah Water, Yayasan Pembangunan Keluarga, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara dan Klinik 1 Malaysia.

UTC Terengganu akan beroperasi bermula pukul 8.30 pagi sehingga 10.00 malam. Dijangka akan dibuka pada Julai 2016.

Foto : Group Kuterer

Tempoh Tukar Kad Debit Versi Baru Sebelum 1 Julai 2017


Selesai tukar kad debit CIMB Islamic Bank dan RHB Islamic Bank kepada kad versi baru yang ada logo MyDebit. Mulai Julai 2017, kad debit dan kad kredit akan bertukar ke sistem baru dan hanya kad versi baru menggunakan sistem PIN sepenuhnya boleh digunakan. Pembayaran menggunakan tandatangan tidak lagi dibenarkan.

Kad debit semua bank boleh ditukar mulai sekarang secara percuma di cawangan bank masing-masing. Belum sempat ke Maybank sebab orang ramai sangat.


Kenyir Water Park di Tasik Kenyir, Terengganu


Musim panas ni seronok dapat mandi di Kenyir Waterpark. Walaupun cuaca panas tapi persekitaran Tasik Kenyir sungguh nyaman sekali. Dibina di sebuah pulau, untuk ke sini perlu naik bot di Pengkalan Gawi. Jambatan ke pulau ini masih dalam pembinaan. 

Harga tiket RM25.00 untuk dewasa, sementara untuk kanak-kanak dan warga emas, harga tiket cuma RM15.00 sahaja. Harga tiket adalah termasuk tambang bot pergi dan balik. Taman tema ini dibuka setiap hari dari jam 10.00 pagi sehingga jam 5.30 petang KECUALI hari Selasa ditutup untuk diselenggara.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh lihat laman web rasmi Kenyir Water Park : http://kenyirwaterpark.com/