Benjolan di Leher Umar



Ujian kedua buat anakanda Umar. Hari ini berjumpa doktor pakar Jabatan Pembedahan Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ) Kuala Terengganu. Benjolan bujur (ditanda dengan bintang) di leher Umar kemungkinan 'Cyst'. Menunggu ujian Radiologi pada Mac 2016 dan temujanji IJN pada April 2016. 

Walaupun tidak berbahaya namun pembedahan kecil akan dijalankan jika mendapat lampu hijau dari pihak IJN memandangkan Umar ada sejarah pembedahan jantung. Jadi, risiko ubat bius ke atas Umar akan diambilkira.


Semoga tiada kesan serius kepada anakanda Umar, InsyaAllah.


Ulangtahun Muhammad Ayden Uwais


Muhammad Ayden Uwais dilahirkan pada jam 7.51 pagi, 16 Disember 2014 di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Kelahirannya mudah dan tidak banyak masalah, pukul 6.40 pagi bertolak dari rumah ke hospital. Jam 7.00 pagi sampai di hospital, jam 7.30 pagi ditolak ke Dewan Bersalin dan 7.51 pagi selamat lahir.


Nama diberi sempena nama seorang pemuda yang disebut-sebut oleh Rasulullah SAW dan sangat terkenal dikalangan penghuni langit iaitu Uwais Al-Qarni.


Uwais seorang yang ceria dan suka tersenyum kepada orang yang memandangnya. Semoga menjadi anak yang soleh dan teman suka duka abangnya Umar. Amin. 




Mistik Hentian Perasing di LPT 2



Siang tadi sempat singgah di Hentian Rehat dan Rawat Perasing, Kemaman. Walaupun cuti sekolah, tidak ramai yang berhenti di hentian terbesar ini. Hanya satu kedai makan yang dibuka. Mungkin ramai yang terpengaruh dengan cerita2 mistik yang tersebar.

Kompleks hentian terbesar di LPT ini cukup lengkap dengan kedai makan, surau, dewan serbaguna, tandas, taman permainan, pondok polis dan dataran dengan landskap menarik.

Terletak di bawah Lembah Perasing, pengguna Lebuhraya Pantai Timur dari kedua-dua arah perlu masuk jauh ke dalam kira-kira 1 km.

Sumber mengatakan yang Lembah Perasing adalah tapak perkuburan besar komunis sejak puluhan tahun dahulu. Banyak kenampakan entiti dilaporkan sekitar kawasan ini. Singgah dan rasai sendiri suasana dan keindahan hentian ini.



Ganjaran Kad Mesra Petronas


Bagus petugas kaunter stesen minyak Petronas di Genting Sempah. Beliau tawarkan saya untuk tukar mata ganjaran Kad Mesra Petronas dengan lampu suluh led. Kalau di tempat lain, mereka buat senyap saja.

Saya lebih utamakan mengisi minyak Petronas kerana ia syarikat minyak tempatan dan minyaknya sudah berkualiti berbanding dahulu. Minyak pilihan lain adalah Caltex dan BHPetrol. Minyak RON 95 mereka bertaraf premium. 


Saya kurang gemar mengisi minyak di Shell dan Petron walaupun minyak mereka berkualiti dan disukai ramai tetapi Shell ada isu dengan menyumbang dana kepada penindasan di Palestin sementara Petron syarikat induknya adalah syarikat arak terbesar di Filipina.


Sekadar pandangan peribadi, namun terpulang kepada anda untuk setia kepada jenama minyak yang disukai. :)




Kak Yah Keropok Lekor Losong


Ada sesetengah orang kata Keropok Lekor Losong sudah kurang sedap. Bagi saya, keropok Losong ada identiti dan keistimewaan yang tersendiri. Tetap sedap seperti dahulu. Kalau anda datang ke Kuala Terengganu, saya cadangkan ke Keropok Lekor Kak Yah di Losong. Beliau dua pupu saya. Lokasi, kedai pertama sebelah kiri di Losong Haji Su kalau dari Pusat Bandar.

Kak Yah ini sudah banyak kali masuk tv kerana boleh dikatakan beliau seorang usahawan wanita yang berjaya. Dari sebuah kedai kecil, beliau kini sudah berjaya memiliki sebuah kedai yang besar di samping membekalkan keropok ke seluruh Malaysia. Jika anda ke sini, anda boleh menikmati keropok di meja yang disediakan di samping memesan minuman kegemaran.

Selamat Datang ke Terengganu. Syurga keropok lekor!

Lebuhraya Karak


Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (Lebuhraya Karak) sejauh 60 km ini yang dibina merentasi pergunungan Banjaran Titiwangsa merupakan lebuhraya yang dibina menggunakan kepakaran kejuruteraan yang tinggi. Dibina pada 1974 dan siap pada 1979, merupakan jalan alternatif kepada Jalan Gombak - Bentong (Laluan Persekutuan FT68) atau terkenal dengan nama Jalan Lama Karak - Bentong yang sempit dan bengkang-bengkok.

Dibina di celah lereng bukit dan gunung, laluan adakalanya curam dan jambatan yang tinggi terpaksa dibina bagi menghubungkan di antara lereng-lereng yang curam.

Menggunakan kod E8 yang bermaksud ia sebahagian dari laluan Lebuhraya Pantai Timur. Walaupun ia dikategori sebagai Jalan Persekutuan dan sepatutnya percuma, tol terpaksa dikutip bagi menampung kos pembinaan dan penyelenggaraan yang tinggi.

Lebuhraya ini mempunyai sebuah terowong sepanjang 900 m di Genting Sempah yang merupakan terowong jalan raya pertama dibina di Malaysia. Terowong tersebut menandakan sempadan di antara negeri Pahang dan Selangor.

Lebuhraya Karak mempunyai dua plaza tol iaitu Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Gombak. Ia diselenggara oleh pemegang konsesi ANIH Berhad (dahulunya MTD Prime).

Biodata Dr Say Shazril Shaharuddin



Biodata Dr Say Shazril Shaharuddin

Nama Penuh: Say Shazril Shaharuddin
Gelaran: Dr Say Shazril Shaharuddin
Umur: 27 Tahun
Lokasi Pekerjaan: Hospital Serdang (Medical Ward 7B)
Pekerjaan:
- Doktor Medical Officer (MO) Fresh Graduates
- Pengedar Herbalife
- Jurulatih Kesihatan
- Model
Pengkhususan: Sakit Puan
Status: Sudah Berkahwin
Nama Isteri: Dr Azura Abas
Tarikh Nikah: 30 Mac 2014
Nombor Telefon: 017-2225865
Instagram: https://instagram.com/say_shazril/
Facebook: https://www.facebook.com/say.shaharuddin/

17 November 2015 Keputusan UPSR 2015


Kepada ibu bapa yang anak yang telah menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015 pada 8 hingga 10 September 2015 lalu, keputusan UPSR akan dikeluarkan pada 17 November 2015 (Selasa).

Semua calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas jam 10.00 pagi 17 November 2015. Calon juga boleh menyemak keputusan UPSR 2015 melalui mySMS 15888. Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula 10.00 pagi, 17 November ini dan akan ditamatkan pada 11.59 malam, pada 23 November 2015.

Lokasi penggambaran filem Polis Evo di Terengganu



Ramai yang mungkin ingin tahu lokasi sebenar penggambaran filem Polis Evo yang dibuat di Terengganu:

1. Lokasi Cikgu Adli dibunuh - lorong sebelah The Store di belakang Kampung Cina, Kuala Terengganu
2. Kampung Inspektor Sani - Perkampungan nelayan di Kg Mangkuk, Setiu.
3. Adegan Mayang di atas bot - jeti Pulau Duyong di tepi Jambatan Sultan Mahmud, Sungai Terengganu
4. Lokasi pangkalan pengedar dadah tepi sungai - sungai berhampiran Jeti Merang, Setiu
5. Lokasi kejar mengejar van - Jalan Tasik Kenyir ke Gua Musang (Lebuhraya Timur - Barat Fasa 2)
6. Adegan di pulau - sekitar Pantai Bukit Keluang, Besut dan Pulau Perhentian.
7. Kawasan Pantai - Sekitar Pantai Merang, Setiu

Lokasi Penginapan Pelakon dan Krew : Agro Resort, Setiu.

Bukan lokasi sebenar di Terengganu:
1. Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) - bukan lokasi IPK Terengganu yang sebenar
2. Hospital - bukan Hospital Kuala Terengganu yang sebenar

Ulangtahun Ke-2 Umar Pesakit Jantung TGA



Umar. 2 tahun. Waktu dilahirkan jam 4.42 petang 6 November 2013, seluruh badannya biru (gelap). Dia agak lambat menangis. Dikejarkan ke Unit ICU Pediatrik tanpa diletakkan di atas badan ibunya. Ibunya tak sempat pun melihat wajah Umar. Baru saya tahu itu prosedur apabila bayi disyaki ada masalah.

Berbeza dengan adiknya Uwais yang diletakkan di atas badan ibu sejurus selepas lahir. Selepas itu bapa boleh azan bayi. Ketika troli katil ditolak ke wad, bayi diletak di celah kaki ibu. Itu tanda bayi itu sihat.

Saya hanya boleh azan Umar tiga jam kemudian selepas dia dibersihkan, disambung dengan oksigen dan pelbagai wayar di seluruh badan dan diletakkan di dalam bekas khas.




Selepas dua doktor pakar Hospital Kuala Terengganu memeriksa Umar, mereka cuba menghubungi HUSM Kubang Kerian namun mereka menolak dengan alasan doktor pakar sedang bercuti. Mujurlah pihak Institut Jantung Negara (IJN) memberi lampu hijau untuk menerima Umar. Hospital Kuala Terengganu tiada kemudahan untuk pembedahan jantung.

Selepas itu baru saya tahu yang Umar biru kerana ada masalah jantung namun doktor ketika itu belum menjelaskannya secara terperinci.

Menjelang tengah malamnya saya mendapat panggilan telefon di mana Umar mesti dihantar ke Kuala Lumpur pada malam itu juga. Saya bersama dua orang doktor dan dua jururawat menaiki ambulans ke IJN. Ibunya tidak dibenarkan ikut sama oleh doktor kerana masih lemah. 

Umar bergantung sepenuhnya dengan bantuan oksigen. Memandangkan perjalanan yang jauh, ambulans terpaksa berhenti di Hospital Kemaman untuk menukar tangki oksigen.


Sebaik tiba di IJN, seorang doktor pakar menerangkan secara terperinci masalah jantung yang dihadapi oleh Umar. Dua salur injap utama jantung Umar berada dalam kedudukan terbalik. Prosedur pertama untuk menstabilkan tekanan oksigen adalah dengan memasukkan belon khas ke jantung Umar.


Kes Umar diberi keutamaan oleh IJN kerana dia perlu dibedah segera. Dua minggu selepas itu pembedahan besar yang dipanggil Transposition of Great Arteries (TGA) Operation dijalankan ke atas Umar untuk menukar salur injap arteri jantung kiri ke kanan dan salur arteri kanan ke kiri. Pembedahan ini memakan masa lebih enam jam.


Selepas pembedahan, dada Umar tidak dijahit lagi bagi mengelakkan berlaku keadaan di luar jangka. Dadanya hanya dijahit 24 jam selepas itu. Alhamdulillah, selepas 48 jam waktu kritikal selepas pembedahan, Umar mulai sedar. Semangatnya untuk hidup memang kuat dengan rahmat Allah SWT dan berkat doa keluarga dan rakan-rakan.


Kini, selepas dua tahun, sepanjang pemeriksaan susulan di HSNZ dan IJN, doktor berpuashati dengan keadaan salur injap utama dan tekanan oksigen jantung Umar. Semoga Allah SWT sentiasa memberi kesihatan yang baik buat anakanda Umar. Ameen.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menyalurkan di akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) MUHAMMAD AHSAN UMAR : 1111441100060894

Muara Sungai Terengganu


Pemandangan dari atas muara Sungai Terengganu. Muara Selatan (kiri) sebelah Pusat Bandar Kuala Terengganu dan Muara Utara (kanan) sebelah Seberang Takir adalah kawasan baru yang ditambak dan akan dibina Jambatan Kedua (Drawbridge). Mungkin mengambil masa untuk siap (saya jangka 5-10 tahun untuk siap sepenuhnya) kawasan ini akan dikenali sebagai Kuala Terengganu City Centre (KTCC).

Foto oleh Impact Media Lab
Kredit untuk Saudara Fuardo Ariff