Apa yang perlu dibuat 24 jam selepas diberhentikan kerja

 


Tidak kiralah apa cara pemberhentian kerja sekalipun, ia masih menyakitkan. 

Sama ada telah berkhidmat di syarikat yang sama selama 10 bulan atau 10 tahun, ia tetap sakit.
 Dimaklumkan melalui emel atau secara bersemuka, kedua-duanya menyengat. 

Bagi kebanyakan daripada kita, kerja, pangkat dan syarikat sering dikaitkan dengan identiti dan nilai diri. 

Jadi, apabila berhadapan dengan situasi sebegini, soalan yang memenuhi kepala kita bukan sekadar “apa yang saya akan lakukan seterusnya?” tetapi juga “siapakah diri saya sebenarnya?”

Selain panik, sedih dan merenung nasib masa hadapan, ini empat perkara yang perlu dilakukan 24 jam selepas anda diberhentikan kerja.

  1. Kumpul segala data dan dokumen berkaitan kerjaya
Komputer anda menyimpan banyak maklumat yang boleh membantu membina jenama profesional dan menampilkan diri sebagai calon terbaik dalam pencarian kerja. 

Kumpulkan segala data dan dokumen pencapaian dan prestasi kerja dalam satu brag file atau fail yang akan digunakan untuk ‘menjual diri’ kepada bakal majikan baharu. 

Berikut ialah beberapa perkara yang perlu diambil secepat mungkin semasa anda masih mempunyai akses kepada akaun kerja.
  • Pensijilan
  • Laporan/data
  • Penghargaan daripada pelanggan, bos, ketua kanan, rakan sebaya
  • Ulasan prestasi
  • Pengiktirafan promosi
  • Hasil daripada projek yang memberi impak
  • Maklumat hubungan rangkaian
Adakah anda mempunyai laporan yang menunjukkan strategi pemasaran yang dicadangkan dan menunjukkan hasil lumayan? Dengan berapa peratus? Adakah kemahiran membina hubungan anda meningkatkan hasil melalui jualan atau perkongsian? Berapa banyak?

Nombor ini boleh menambah nilai pada resume, surat lamaran dan profil LinkedIn anda untuk membantu pembaca melihat skop kesan anda.

Kemudian pertimbangkan sokongan di sebalik bukti anda. Mengapa pengurus menaikkan pangkat anda? Mengapa anda dipilih untuk membentangkan laporan kepada pengurus besar?

Apakah reputasi anda di tempat kerja? Mengapakah rakan kongsi atau pelanggan dalaman dan luaran meminta untuk bekerjasama dengan anda? 

Ambil perhatian bahawa kebanyakan syarikat akan menyekat akses daripada emel kerja anda dan akaun lain sebaik sahaja diberhentikan kerja. Jika itu berlaku, jangan risau. Cuba minta dengan baik segala maklumat diperlukan daripada rakan sekerja atau pengurus terdahulu.

  1. Buat atau sertai kumpulan dengan rakan sekerja anda yang diberhentikan kerja
Pemberhentian beramai-ramai mungkin mencetuskan kebimbangan tetapi adanya kumpulan WhatsApp bersama rakan sekerja yang diberhentikan kerja akan, sekurang-kurangnya, menimbulkan rasa anda tidak bersendirian.

Kumpulan WhatsApp, Telegram dan sebagainya boleh menjadi tempat untuk masing-masing berkongsi peluang pekerjaan, mengeratkan hubungan dan berkongsi empati.

  1. Kongsikan berita kepada komuniti LinkedIn
Tukarkan profil anda kepada “Terbuka untuk Bekerja” atau “Open to Work”. Dengan cara ini, perekrut dan majikan daripada syarikat lain akan sedia maklum bahawa anda bersedia untuk berkhidmat di bawah naungan syarikat mereka. 

Komuniti di LinkedIn kebiasaannya sangat menyokong. Mereka akan menyukai, berkongsi dan memberi peluang pekerjaan baharu pada hantaran mengenai pemberhentian kerja dan harapan untuk mencari kerja baharu, lebih-lebih lagi sekiranya anda memuat naik hantaran “Open to Work”.

Berikut ialah beberapa petua untuk menulis hantaran kukuh yang akan menarik perhatian perekrut dan bakal majikan:
  • Jual pencapaian di syarikat terdahulu
  • Nyatakan dengan jelas jawatan yang dicari
  • Bina rangkaian atau connect dengan syarikat yang anda berminat untuk bekerja
  • Sertakan #OpenToWork bersama tanda pagar pekerjaan, jawatan dan industri (contoh: #engineering #oilandgas #seniorengineer). Ini membolehkan perekrut menemui anda dengan mudah.

  1. Dapatkan nasihat fasilitator kerjaya
Bertemu dengan fasilitator kerjaya boleh membantu anda merancang langkah yang seterusnya. Di Malaysia, terdapat ramai fasilitator kerjaya yang dapat dilihat di media sosial seperti Syaza Nazura, Nik Akmal dan sebagainya. 

Dapatkan nasihat daripada mereka bagi membantu anda merangka resume dan cover letter yang akan menarik minat para majikan. 

Selain itu, terdapat juga ratusan jurulatih di LinkedIn dengan julat harga dan kepakaran yang berbeza-beza untuk membantu anda mencapai langkah seterusnya dengan lebih mudah. 

Sumber dari RELEVAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.