YPKT sedia RM5 juta pinjaman modal perniagaan tanpa faedah

April 30, 2024

 


Kerajaan negeri Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menyediakan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk pinjaman modal perniagaan tanpa faedah pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, berkata pinjaman di bawah Program Jaya Diri (PJD) itu bagi membantu keluarga berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan mereka menerusi projek ekonomi.

Beliau berkata, pinjaman tanpa faedah dan cagaran itu disediakan bagi permohonan berjumlah antara RM5,000 hingga RM20,000.

"Sejak Januari lalu, YPKT mengeluarkan pinjaman modal perniagaan kepada 227 keluarga membabitkan kos sebanyak RM2.6 juta.

"Kadar pinjaman tanpa cagaran dan faedah itu dikeluarkan kepada 39 peserta di daerah Besut saja dengan jumlah keseluruhan RM408,000," katanya selepas program Hari Bertemu Pelanggan 2024 dan Jalinan Mesra YPKT.

Turut hadir, Pengarah YPKT, Ahmad Faris Abd Razak dan Pengetua Asrama Anak-Anak Yatim Darul Falah (Perkasa), Norina Mohamad.

Mengulas lanjut, Maliaman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Ajil, berkata jumlah pinjaman dikeluarkan kepada 33 peserta di daerah Setiu pula membabitkan jumlah RM386,000, manakala lapan peserta di daerah Kuala Nerus memperoleh pinjaman berjumlah RM93,000 serta 19 penerima di daerah Kuala Terengganu membabitkan pinjaman RM210,000.

"Selain itu, daerah Marang seramai 47 peserta (RM576,000), Hulu Terengganu 16 peserta (RM220,000), Dungun 28 peserta (RM321,000) dan 37 peserta di daerah Kemaman membabitkan jumlah pinjaman RM376,000," katanya.

Mengulas bayaran balik pinjaman, Maliaman berkata, setakat ini kerajaan negeri berpuas hati dengan bayaran balik oleh semua peserta terbabit.

Sumber : Berita Harian

You Might Also Like

0 Comments

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.