Memaparkan catatan dengan label demam berpanjangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label demam berpanjangan. Papar semua catatan

Sabtu, Julai 15, 2017

Waspada demam berpanjangan

 

Serangan meningitis atau jangkitan kuman pada lapisan otak boleh menyebabkan komplikasi serius termasuk sawan berterusan serta koma sekiranya tidak dirawat segera.

Meningitis adalah istilah perubatan berasal daripada dua perkataan latin iaitu pertama "meninges" iaitu lapisan yang menyaluti otak dan kedua "itis" yang bermakna keradangan pada lapisan atas otak akibat jangkitan pelbagai jenis kuman.

Kanak-kanak berusia bawah lima tahun paling mudah terkena jangkitan meningitis berbanding dengan kanak-kanak lain atau remaja.

Ini disebabkan faktor sistem ketahanan badan yang masih belum matang dan mudah terdedah.

Pakar Perunding Pediatrik dan Neurologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr Mohd Feizel Alsiddiq Mohd Fakharuddin, berkata meningitis jarang berlaku tetapi apabila menyerang berpotensi menyebabkan kehilangan nyawa.

Beliau berkata, bagi orang dewasa atau kanak-kanak berusia lebih lima tahun, biasanya mengadu demam, sakit kepala yang teruk, muntah-muntah, sakit pada tengkuk dan sekiranya kritikal boleh terkena sawan dan koma.

"Masalah dengan kanak-kanak yang belum pandai bercakap, gejalanya sukar dilihat kecuali demam, menangis tanpa henti, meragam berlebihan, sawan, letih tidak bermaya, kurang responsif, banyak tidur dan muntah berpanjangan," katanya.

Meningitis menyebabkan demam tinggi dengan suhu antara 39 sehingga 40 darjah Celsius disertai dengan sawan berulang-ulang.

Dalam keadaan sedemikian, katanya ubun kepala (anterior fontanelle) anak biasanya akan bengkak atau kelihatan benjol. Anak tadi kelihatan lemah dan tidak bermaya apabila mengalami meningitis.

Kanak-kanak terbabit juga boleh menjadi lemah sebelah badan dan tengkuk menjadi keras menyebabkan mereka menangis apabila menggerakkannya.

"Terdapat beberapa bakteria yang menjadi punca jangkitan iaitu bakteria pneumokokal, E coli, Haemophilus Influenza B dan meningokokal.

"Virus denggi, enterovirus dan Japanese Encephalitis (JE) serta kuman Tuberkulosis (TB) juga boleh menyebabkan serangan meningitis dan yang terkini adalah Virus Rabies di Sarawak " katanya.

Jangkitan kuman boleh dikesan melalui pemeriksaan darah dan seterusnya disahkan dengan prosedur pengambilan air tulang belakang (lumbar puncture).

Sekiranya pesakit disahkan mengalami meningitis, mereka perlu dirawat segera.

Rawatan termasuk memberikan pesakit antibiotik intravenous secepat mungkin kerana lebih lama kuman terdapat di dalam otak, lebih cepat ia merebak dan menyebabkan banyak komplikasi serta penyakit lebih kritikal.

Antara komplikasi berkenaan adalah tekanan otak yang tinggi dan boleh menyebabkan sawan berulang, koma, nanah di dalam kepala dan strok.

Serangan jangkitan meningitis boleh dicegah dengan vaksin yang termasuk di dalam program imunisasi kebangsaan seperti Haemophilus Influenza B (HiB).

Vaksin pneumokokal juga berkesan dan digalakkan diambil walaupun tidak tersenarai dalam program ini bagi melindungi anak daripada meningitis.

INFO

Jenis vaksin mencegah meningitis:

  • 1. Haemophilus Influenza B (Sesuai untuk bayi berusia dua bulan, tiga bulan dan empat bulan).
  • 2. Pneumokokal (Bayi dua bulan ke atas).
  • 3. Meningokokal (untuk warga yang ingin mengerjakan umrah atau haji).
  • 4. Japanese Encephalitis ( untuk kanak-kanak yang tinggal di negeri Sarawak)

Cara mencegah meningitis:

  • Mengambil vaksin yang disarankan.
  • Mendapat rawatan segera jika bayi kecil didapati tidak sihat.
  • Kuatkan sistem imun anak dengan memberi susu ibu, makanan seimbang dan berzat.
  • Memastikan saiz badan anak dan tumbesaran fizikalnya adalah normal.
  • Sekiranya ada ahli keluarga mengalami meningitis, ahli keluarga lain perlu dikuarantin dan mendapatkan antibiotik tertentu. 

Sumber daripada Berita Harian

 

 

 

 

 

Recent Posts