Kita ikuti kegigihan seorang pelajar sebelum berjaya di dalam STPM.
Bangun seawal jam 4 pagi setiap hari untuk mengulang kaji pelajaran selama satu jam, diikuti membantu ibu bapa membuat kuih sebelum ke sekolah.
Itu rutin harian Aqilah Talib, 20, seorang daripada 112 pelajar terbaik Terengganu yang memperoleh purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.
Anak bongsu daripada 10 adik beradik itu berkata, dia akan ke sekolah selepas membantu ibunya, Mariam Chik, 60, menyiapkan kuih sebelum bapanya, Talib Abdul Rahman, 70, menghantarnya ke kedai makan atau warung berhampiran.
Katanya, dia tidak menjadikan bangun seawal pagi sebagai alasan, sebaliknya membuatkannya terus bersemangat belajar untuk memperoleh keputusan lebih baik.
"Rutin harian saya dengan membahagikan masa ulang kaji pelajaran dan membantu ibu membuat kuih pada jam 5 pagi setiap hari untuk dihantar ke kedai makan.
"Saya mula bangun seawal jam 4 pagi setiap hari dengan mengambil masa satu jam untuk mengulang kaji pelajaran dan bersyukur apabila mendapat keputusan cemerlang," katanya yang ditemui selepas pengumuman STPM di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu.
Aqilah berkata, keputusan dia menolak tawaran dalam jurusan pelancongan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun dengan menyambung pelajaran di SMK Sultan Sulaiman, juga keputusan tepat.
Dia yang tinggal di Kampung Pak Bang, Pasir Panjang, di sini berkata dia tidak menerima tawaran itu sebaliknya memilih untuk menduduki STPM kerana enggan menanggung hutang pinjaman.
"Walaupun ramai yang memberitahu STPM susah, saya tetap dengan keputusan untuk menyambung pelajaran di tingkatan enam terlebih dulu.
"Selepas ini, kalau ada rezeki saya mahu menyambung pengajian dalam jurusan undang-undang di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)," katanya.
Sumber dari Berita Harian.