Memaparkan catatan dengan label pinjaman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pinjaman. Papar semua catatan

Jumaat, Disember 09, 2022

Miliki rumah melalui skim Al-Amali dengan kadar 3.25 peratus

 


Co-opbank Pertama (CBP) menawarkan  had pembiayaan perumahan-i Al-Amali  berkonsepkan Murabahah Tawarruq sehingga RM10 juta kepada pelanggan yang berkelayakan untuk memiliki kediaman idaman masing-masing.

 Menurut kenyataan yang dikeluarkan bank tersebut, pinjaman perumahan yang ditawarkan pada kadar serendah 3.25 peratus sehingga 35 tahun itu bertujuan untuk memberi peluang kepada lebih ramai kumpulan sasaran untuk memiliki rumah dalam keadaan yang semakin mencabar kini.

Jenis pembiayaan yang kami tawarkan termasuklah dalam kategori rumah siap, masih dalam pembinaan dan juga lelongan.

Tidak ketinggalan kategori yang ditawarkan merangkumi pembiayaan semula baki pembiayaan rumah dan mencagar semula rumah.

CBP menjelaskan, selain membuka permohonan kepada mereka yang bekerja, ia tetap ditawarkan kepada mereka yang bekerja sendiri atau berniaga serta dapat membuktikan pendapatan bulanan yang kukuh dan stabil.

“Umur pemohon juga adalah tidak kurang dari 18 tahun semasa permohonan dan tidak melebihi 70 tahun pada tarikh tamat tempoh pembiayaan.

“Selain itu mereka yang mahu memohon, seharusnya tidak memiliki rekod muflis atau bankrap atau mempunyai rekod dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Mereka perlu mempunyai rekod baik dengan bank atau mana-mana institusi kewangan,” jelas kenyataan tersebut.

 Tambah CBP, permohonan  secara bersama adalah dibenarkan dengan bilangan pemohon tidak melebihi dua orang dengan syarat pemohon juga mestilah mempunyai hubungan kekeluargaan yang terdekat. 

Sumber : KOSMO!

Isnin, September 05, 2022

Skim payung di bawah Bank Rakyat

 


Skim Payung di bawah Bank Rakyat, yang melibatkan pinjaman antara RM50,000 hingga RM100,000 perlu direbut oleh para usahawan bagi menyokong perkembangan perniagaan mereka.

Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, skim tersebut adalah komitmen kerajaan untuk membantu usahawan yang berhasrat membantu usahawan kecil lain meningkatkan pendapatan.

“Menerusi Skim Payung, jika ada usahawan ingin membuka lima cawangan dengan keperluan RM100,000 bagi setiap cawangan, kami akan meluluskan terus RM500,000 dengan bayaran RM100,000 setiap kali pinjaman disalurkan.

“Ini dasar baharu kementerian untuk memudahkan usahawan. (Sebab) kadang-kadang proses pinjaman memakan masa lima bulan dan hendak tunggu duit dibayar lagi dua bulan,” katanya pada pelancaran produk semburan wanigan fabrik keluaran DeeDat Air Care di Bandar Botanik, semalam.

Noh berkata, skim berkenaan memudahkan usahawan menerima pinjaman dengan cepat dan tidak menunggu lama.

Sementara itu, menurut Pengasas DeeDat Air Care, Norazlina Yaakob, beliau dan suaminya, Rosman Kadir membuktikan mereka mampu berjaya walaupun bermula daripada perniagaan di tepi jalan.

“Selepas tiga tahun, DeeDat Air Care kini mampu mengeluarkan produk kebersihan seperti pewangi kereta, tisu basah dan pembersih fabrik.

“Kami juga berjaya mengembangkan perniagaan sehingga ke Singapura dan bercadang memasuki pasaran Brunei dan Indonesia,” katanya.

Sumber dari Kosmo!

Ahad, Januari 23, 2022

Kemudahan pembiayaan PKS RM2 bilion dibuka 3 Februari 2022

 

Bank Negara Malaysia (BNM) akan memperkenalkan dua kemudahan baharu di bawah Dana BNM bernilai RM2 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dibuka untuk permohonan mulai 3 Februari ini.

Menurut BNM, pertama ialah Kemudahan Permodalan Semula Perniagaan (Business Recapitalisation Facility, BRF) berjumlah RM1 bilion, bertujuan menyokong PKS untuk pulih dan berkembang, di samping menguruskan tahap keberhutangan mereka melalui penyelesaian pembiayaan yang inovatif.

“Di bawah BRF, PKS boleh mendapatkan pembiayaan ekuiti melalui terbitan saham keutamaan, saham biasa, atau sebarang instrumen mirip ekuiti yang sesuai; atau gabungan antara pembiayaan hutang daripada institusi kewangan peserta (IKP) dan pembiayaan ekuiti melalui pembiaya ekuiti pihak ketiga (kewangan campuran).

“BRF tersedia untuk PKS daripada semua sektor ekonomi, sehingga maksimum RM5 juta bagi membiayai modal kerja dan/atau perbelanjaan modal, dengan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, penyelesaian pembiayaan yang lebih inovatif seperti kewangan campuran dan pembiayaan ekuiti, menggabungkan sumber, kapasiti dan pengetahuan merentas sektor awam dan swasta termasuk bank, institusi kewangan pembangunan dan pelabur ekuiti.

“Ia bagi membantu perniagaan bangkit semula dengan lebih baik dalam landskap selepas pandemik,” jelasnya.

Sementara itu, kemudahan kedua ialah Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (Low Carbon Transition Facility, LCTF), juga berjumlah RM1 bilion yang menyokong dan
menggalakkan PKS untuk menerapkan amalan kelestarian bagi meningkatkan daya tahan perniagaan.

“Di bawah kemudahan ini, institusi kewangan akan menyediakan dana padanan sebanyak RM1 bilion daripada dana mereka sendiri.

“Kemudahan ini adalah selaras dengan matlamat Kerajaan untuk mencapai sasaran ekonomi pelepasan karbon sifar bersih (net-zero emission) pada tahun 2050,” ujar BNM.

Butiran mengenai Dana BNM untuk PKS boleh didapati di bnm.gov.my/sme-financing 

 

 

 

 

Isnin, Disember 27, 2021

Pembiayaan peribadi tanpa faedah BSN hingga RM10,000

 


Bank Simpanan Nasional (BSN) akan menawarkan pembiayaan peribadi tanpa faedah MyRinggit-i Banjir hingga RM10,000 berbanding RM5,000 yang diumumkan pada minggu lepas kepada mangsa banjir.

"RM100 juta diperuntukkan bagi tujuan ini bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir untuk membeli peralatan dan kelengkapan rumah baharu bagi menggantikan yang telah musnah akibat bencana," kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pembiayaan itu adalah dengan moratorium bayaran balik selama enam bulan dan selanjutnya bayaran balik dalam tempoh hingga 3.5 tahun.

Pemohon boleh memohon mulai 27 Disember ini melalui https://www.bsn.com.my

Sementara itu, BSN dalam kenyataan berasingan pula menjelaskan MyRinggit-i Banjir terbuka kepada semua mangsa banjir di selurun negara. 

"Mangsa banjir boleh memohon dengan melengkapkan borang permohonan dalam talian melalu laman web rasmi BSN - www.bsn.com.my 

 

 

 

Khamis, Oktober 01, 2020

Tempoh moratorium pinjaman berakhir

 

Bank Negara Malaysia (BNM) memberi jaminan untuk memantau rapi amalan bank-bank dalam urusan menawarkan bantuan bayaran balik pinjaman ekoran berakhirnya moratorium secara automatik bermula semalam.

Menurut bank pusat, peminjam yang menghadapi kesukaran berurusan dengan bank boleh menghubungi BNMTELELINK melalui laman web, bnmtelelink@bnm.gov.my.

Kemudahan moratorium selama enam bulan bermula April lalu telah memberi manfaat kepada lebih daripada tujuh juta peminjam individu dan lebih daripada 240,000 peminjam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Sehingga kini, pihak bank te­lah menerima kira-kira 500,000 permohonan bantuan bayaran balik pinjaman dan meluluskan 98 peratus daripadanya.

“Bank-bank berkenaan juga secara berasingan telah bertindak menghubungi lebih daripada dua juta peminjam menerusi te­lefon, e-mel dan sistem pesanan ringkas untuk menawarkan bantuan bayaran balik pinjaman.

“Bagi permohonan yang masih diproses, bank-bank terbabit telah memberi komitmen untuk memaklumkan keputusan permohonan tersebut dengan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Selain itu, bank pusat menasihati peminjam yang mampu menyambung semula bayaran balik pinjaman bulanan agar te­rus berbuat demikian kerana ini dapat mengurangkan kos hutang dan pinjaman mereka secara ke­seluruhan.

“Meskipun keadaan ekonomi secara amnya bertambah baik tetapi mungkin ada sesetengah daripada peminjam mungkin akan menghadapi cabaran membuat bayaran balik pinjaman jika keadaan mereka sebaliknya berubah pada bulan akan datang.

“Jika perkara ini berlaku, pe­minjam masih boleh berurusan dengan bank untuk berbincang mengenai pengaturan bayaran balik pinjaman,” katanya.

Jelas bank pusat, semasa tempoh tersebut, institusi perbankan akan terus menawarkan pelbagai bentuk bantuan bayaran balik pinjaman kepada peminjam.

Selain itu, peminjam boleh mendapatkan panduan dan pilihan bantuan alternatif daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Bank pusat berkata, industri perbankan juga telah bertindak aktif dan terus komited membantu isi rumah dan perniagaan yang memerlukan bantuan susulan berakhirnya kemudahan moratorium itu.

Bank-bank terbabit juga memperkenalkan pelbagai pakej untuk membantu peminjam terjejas termasuk lanjutan mo­ratorium secara bersasar serta fleksibiliti bayaran balik pinjaman bagi membantu peminjam berdasarkan keadaan kewangan mereka.

Menurut BNM, sesi ini terma­suk kempen bantuan pembayaran balik pinjaman di seluruh negara serta perbincangan dan interaksi secara langsung dengan pelbagai kumpulan berkepentingan termasuk persatuan-persa­tuan PKS.

“Bagi melancarkan proses permohonan ini, institusi perbankan telah memudahkan langkah permohonan seperti membolehkan permohonan secara dalam talian dan melanjutkan waktu urusan cawangan bank (termasuk hujung minggu),” kata bank pusat.

 

 

Recent Posts