Ada yang mengatakan bahawa kita harus mengurangkan pengambilan lemak, tetapi lemak juga adalah penting untuk beberapa fungsi tubuh.
Apakah perbezaan antara jenis-jenis lemak yang diperlukan oleh tubuh kita dan apakah jenis lemak yang baik untuk tubuh?
Umumnya lemak dipercayai tidak baik untuk kesihatan, tetapi lemak mempunyai fungsi yang penting dalam tubuh kita. Lemak daripada diet membekalkan asid-asid lemak penting yang tidak dapat dihasilkan oleh badan kita dan mesti diambil daripada makanan. Lemak juga membantu dalam penyerapan vitamin A, D, E dan K yang larut lemak (sebagai pengangkutan).
Namun, pengambilan lemak yang berlebihan harus dielakkan. Lemak adalah tinggi dalam kalori dan akan meningkatkan risiko lebih berat badan atau obes.
Tubuh kita memerlukan pelbagai jenis lemak. Lemak terdiri daripada asid-asid lemak yang diperlukan dalam jumlah yang berbeza.
Jenis asid lemak yang utama ialah:
Asid lemak tepu - Menjadi pepejal pada suhu bilik dan biasanya diperolehi daripada sumber haiwan, iaitu daging, susu, produk tenusu dan minyak sapi. Sesetengah makanan daripada sumber
tumbuh-tumbuhan juga mengandungi lemak tepu seperti santan dan minyak kelapa.
Asid lemak tidak tepu - Jenis lemak cair pada suhu bilik. Kebanyakannya boleh didapati dalam makanan sumber tumbuh-tumbuhan seperti minyak sayur-sayuran, kacang, biji benih dan sesetengah ikan laut.
Terdapat dua jenis asid lemak tidak tepu:
Asid lemak mono-tak-tepu: Sumber utama termasuk minyak sawit, minyak zaitun, minyak kanola, gajus, kacang tanah
Asid lemak poli-tak-tepu: Sumber utama termasuk minyak kacang soya, minyak jagung, minyak biji bunga matahari, ikan laut dalam.
Hadkan Pengambilan
Mengikuti cadangan pengambilan lemak harian:
Jumlah pengambilan lemak tidak melebihi 20-30% (45-67g, kira-kira 3 hingga 5 sudu besar minyak) daripada jumlah pengambilan kalori sehari (berdasarkan 2000 kcal).
Minyak masak
Secara amnya, orang yang sihat boleh memasak dengan menggunakan minyak sawit (mengandungi gabungan asid lemak) yang lazim terdapat di pasaran. Anda boleh juga menggunakan campuran 1 bahagian minyak sawit dengan 1 bahagian minyak poli-tak-tepu yang lain.
Jangan gunakan minyak masak yang didapati telah berubah warna kerana komponen-komponen yang merbahaya mungkin terbentuk.