Khamis, Mac 21, 2024

Soalan yang mungkin ditanya dalam temuduga kerja


Berikut ialah soalan-soalan yang mungkin ditanya dalam temuduga:

  1. “Ceritakan serba sedikit tentang diri anda”

Temu duga selalunya akan bermula dengan soalan berkaitan latar belakang dan minat anda jawatan tersebut. Ini mungkin termasuk soalan seperti “apakah yang mendorong anda untuk memohon jawatan ini?” atau “ceritakan pelan jangka panjang untuk kerjaya anda”.


Untuk soalan sebegini, jawapan yang meyakinkan akan menyerlahkan lagi kemahiran yang berkaitan untuk peranan tersebut. Pengalaman profesional tidak bermakna anda perlu mempunyai sejarah pekerjaan dalam bidang yang sama. 


Contohnya, jika anda memohon kerja khidmat pelanggan, sebutkan kaedah komunikasi dan penyelesaian masalah yang digunakan ketika menyelesaikan tugasan terdahulu sebagai pelajar atau dalam pekerjaan sebelumnya. 

  1. “Apakah kaedah penyelesaian masalah yang anda lakukan?”

Soalan tingkah laku seperti ini memerlukan calon memberi contoh tindakan lepas yang mereka ambil untuk menyelesaikan masalah. Contohnya “ceritakan apakah tindakan anda ketika menerima aduan daripada pelanggan dan apakah hasilnya?”


Objektif soalan ini adalah untuk meramal bagaimana calon akan berkelakuan sekiranya diletakkan dalam situasi yang sama.

    Sekiranya tidak mempunyai pengalaman yang berkaitan untuk soalan ini, terangkan bahawa anda tidak dapat fikirkan contoh spesifik. Tetapi, cuba terangkan bagaimana anda akan menangani situasi tersebut secara umum.


    1. “Apakah kelemahan anda?”

    Untuk soalan ini, Relevan telah kongsikan satu artikel khas bagi membantu para pencari kerja sekalian. Anda boleh klik pautan di bawah untuk pembacaan penuh.


    Secara ringkasnya, cara untuk menjawab soalan ini adalah dengan menceritakan kelemahan dari segi profesional. 


    Sebagai contoh, anda kurang berkeyakinan untuk bercakap di hadapan khalayak ramai. Anda juga sedar bahawa kemahiran ini sangat diperlukan sekiranya anda mahu menggalas jawatan yang lebih besar sebagai pengurus. 


    Jadi, terangkan bahawa anda mempunyai keinginan untuk melatih diri agar lebih berani bercakap di hadapan orang ramai. 


    Dengan menyatakan kesediaan untuk melakukan penambahbaikan dan sedia mempelajari ilmu baharu, anda akan meninggalkan kesan yang positif berbanding sekadar menyenaraikan kelemahan diri.

    1. “Berapakah jangkaan gaji anda?”

    Kebiasaannya, rundingan gaji akan berlaku selepas anda diterima bekerja secara rasmi. Tetapi, kadangkala topik itu akan muncul juga semasa temu duga.


    Sebelum menyatakan jangkaan gaji, anda perlu tahu berapakah gaji dan faedah yang ditawarkan oleh syarikat untuk peranan tersebut. Sekiranya gaji tidak disenaraikan dalam iklan kerja, tanyakan kepada penemu duga berapakah julat gaji untuk jawatan tersebut.


    Menjelang temu duga juga, lakukan penyelidikan berapakah gaji yang ditawarkan bagi jawatan tersebut di pasaran. 


    Anda juga dinasihatkan untuk berhati-hati sebelum mendedahkan gaji semasa anda. Maklumat ini boleh memberikan garis dasar yang boleh menyukarkan anda untuk merunding gaji yang lebih tinggi. 


    Sekiranya soalan ini ditanya, anda boleh menolak untuk menjawab dan menyatakan bahawa maklumat berkaitan gaji adalah sulit antara anda dengan majikan semasa.


    Soalan yang tidak wajar dan tidak berkaitan


    Sesetengah majikan mungkin bertanya soalan yang tidak sesuai atau menyalahi undang-undang. Ini mungkin berkaitan dengan status perhubungan, tanggungjawab penjaga, perancangan zaman kanak-kanak, kesihatan fizikal atau mental, latar belakang budaya atau etnik dan aktiviti kesatuan.


    Jika ditanya soalan yang tidak sesuai, anda boleh bertanya dengan sopan kepada penemu duga, bagaimana maklumat tersebut relevan dengan keupayaan untuk melaksanakan tugas bagi jawatan tersebut?

    1. “Anda ada apa-apa soalan yang ingin ditanyakan?”

    Selalunya, penemu duga akan memberi ruang kepada calon untuk bertanya soalan. Soalan yang anda tanya itu juga boleh meninggalkan impak yang positif.


    Anda boleh bertanya sebarang aspek pekerjaan yang kurang jelas seperti waktu bekerja. Anda juga boleh melakukan penyelidikan tentang organisasi dan bertanya beberapa soalan yang lebih khusus tentang pelanggan, projek atau rancangan jangka panjang syarikat.


    Di luar keperluan khusus peranan, topik yang baik untuk ditanya adalah tentang budaya pasukan dan organisasi. Sebagai contoh, anda boleh bertanya, apakah rutin staf dalam sehari?


    Pada akhir temu duga, tidak ada salahnya untuk bertanya bilakah anda akan mendapat jawapan sama ada diterima bekerja atau tidak.


    Jangan takut untuk bertanya. Dalam sesi temu duga, bukan majikan sahaja yang menilai anda, anda juga menilai syarikat, sama ada ia sesuai atau tidak dengan rancangan kerjaya. 


    Sumber : RELEVAN 

    0 Comments:

    Catat Ulasan

    Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

    Recent Posts