Khamis, Februari 22, 2024

Biodata Tun Pehim Abdul Taib Mahmud

 



Beliau memulakan persekolahannya di Sekolah Rendah St. Joseph di Miri dan seterusnya ke Sekolah Menengah St. Joseph di Kuching.

Tamat sekolah menengah, Abdul Rahman mahukan beliau melanjutkan pelajaran dalam jurusan undang-undang.

Selepas lulus cemerlang pada peperiksaan Senior Cambridge pada 1958 beliau layak mendapat biasiswa Shell untuk melanjutkan pelajarannya ke Universiti Adelaide di Australia Selatan sehingga berjaya mendapat ijazah pertama dalam undang-undang pada 1960.

Selepas balik ke Sarawak, beliau dilantik sebagai pendakwa raya di dalam 'Crown Council' pada 1962 sehingga 1963.

Beliau kemudiannya mencipta sejarah dalam politik Sarawak apabila menjadi individu termuda yang dilantik dalam kabinet sebagai Menteri Komunikasi dan Kerja Raya pada 1963 pada usia 27 tahun.

Pada 1968 hingga 1970, beliau dilantik pula sebagai Penolong Menteri Persekutuan bagi portfolio Perdagangan dan Industri.

Pada 1970, beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Malaysia bagi kerusi Kota Samarahan dan mewakili kawasan itu selama 38 tahun.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1970-1972) dan Menteri Sumber Semula Jadi (1972-1974).

Bermula pada tarikh 26 Mac 1981, beliau mengambil alih pentadbiran kerajaan Sarawak daripada Abdul Rahman dan menjadi Ketua Menteri paling lama berkhidmat sehingga meletak jawatan pada 28 Februari 2014 apabila dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak ketujuh.

Beliau menjadi ketua negeri sehingga 25 Januari lalu selepas berkhidmat selama 10 tahun.

Sepanjang perkhidmatannya sebagai dalam Kabinet Persekutuan dan negeri seterusnya menjadi ketua negeri, beliau mengabdikan hidupnya untuk membangun dan mensejahterakan Sarawak.

Ketika menjadi Ketua Menteri Sarawak, beliau mempamer kualiti sebenar sebagai pemimpin rakyat pelbagai kaum dan kepercayaan agama.

Beliau menyatukan rakyat dan mewujudkan kestabilan politik di Sarawak di bawah dasar politik pembangunan dan memainkan peranan penting dalam melaksanakan dasar untuk menjamin masa depan Sarawak sebagai ekonomi moden.

Beliau juga dikenali sebagai Bapa Pemodenan Sarawak apabila mengeksploitasi sumber kekayaan baharu di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Di dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) beliau adalah Presiden paling lama iaitu selama 33 tahun bermula 1981 sehingga 2014.

Abdul Taib berkahwin dengan wanita berketurunan Poland, Puan Sri Laila Taib pada tahun 1959 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Jamilah Hamidah Taib, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman dan Datuk Hanifah Hajar.

Selepas kematian Laila akibat barah pada 29 April 2009 beliau berkahwin pun dengan wanita Lubnan, Toh Puan Raghad Kurdi pada 2010.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.28 pagi di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) pada usia 87 tahun.



0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts