Kelaparan ketika dunia semakin panas

September 17, 2022

 


Negara yang menjadi titik panas iklim terburuk di dunia kini sedang menyaksikan krisis kelaparan yang teruk.

Situasi membimbangkan itu didedahkan badan amal antarabangsa, Oxfam menerusi analisis ‘Kelaparan Dalam Dunia Yang Semakin Memanas’ yang mendapati kelaparan akut telah meningkat 123 peratus sejak lebih enam tahun lalu di 10 negara paling terjejas.

Laporan itu menunjukkan negara yang sering berdepan fenomena cuaca ekstrem sejak lebih dua dekad lalu ialah Somalia, Haiti, Djibouti, Kenya, Niger, Afghanistan, Guatemala, Madagascar, Burkina Faso dan Zimbabwe.

Sementara itu, data yang dikumpulkan Program Makanan Sedunia (WFP) menganggarkan 48 juta penduduk di kesemua negara berkenaan mengalami kelaparan akut yang membahayakan nyawa.

“Angka itu menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding 21 juta yang direkodkan pada 2016. Selain itu, kira-kira 18 juta penduduk berada di ambang kebuluran,” jelas laporan agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tersebut.

Kajian yang dilakukan Oxfam itu juga mendapati krisis kelaparan itu diburukkan lagi dengan konflik dalaman dan masalah ekonomi termasuk pandemik Covid-19.

“Cuaca ekstrem yang semakin teruk telah menjejaskan keupayaan negara berpendapatan rendah untuk menangani krisis kelaparan akut dan menghadapi kejutan seterusnya,” ujarnya yang merujuk kepada fenomena perubahan iklim yang mengakibatkan gelombang haba melampau di beberapa negara dan banjir yang dahsyat yang kini menenggelamkan satu pertiga Pakistan.

Sumber : Sinar Harian

You Might Also Like

0 Comments

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.