Isnin, Mei 16, 2022

Guru besar dan pengetua tidak boleh lagi halang pertukaran guru

 


Guru kini boleh membuat permohonan pertukaran sepanjang tahun susulan garis panduan baharu dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menggantikan garis panduan sedia ada yang dikeluarkan pada 1975.

Permohonan pertukaran sekolah oleh guru juga kini tidak boleh dihalang guru besar atau pengetua yang sebelum ini mempunyai kuasa untuk memberi kelulusan.

Mengumumkan keputusan terbaharu itu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pengumuman untuk pertukaran guru pula diubah kepada empat kali setahun berbanding hanya dua kali setahun sebelum ini.

Jika dulu, pengumuman untuk pertukaran guru adalah dua kali setahun, tetapi sekarang kita umum empat kali setahun dan permohonan boleh dibuat sepanjang tahun.

Sebelum ini, permohonan pertukaran juga memerlukan kelulusan guru besar atau pengetua, tetapi kini guru atau pengetua hanya dibenarkan untuk memberi ulasan, tidak boleh menghalang pertukaran guru-guru.

Justeru, perkara ini juga memberi peluang kepada semua guru, termasuk yang cemerlang untuk bergerak dari satu sekolah ke sekolah yang lain untuk menyumbang bakti.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-51 Tahun 2022 bertemakan 'Guru Tunjang Sekolah Sejahtera' di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok.

Radzi berkata, bagi tahun 2021, guru yang berjaya dalam pertukaran berjumlah 55 peratus daripada keseluruhan permohonan.

Secara purata setiap tahun, jumlah permohonan pertukaran guru adalah melebihi 20,000 orang dan tahun lalu kita menerima sebanyak 23,000 permohonan.

Permohonan pertukaran paling tinggi adalah untuk masuk ke Kelantan dengan subjek Pendidikan Islam dan sedangkan guru subjek itu sudah penuh di Kelantan.

Kapasiti guru di Kelantan juga adalah seramai 29,000 orang dan perlu menunggu kekosongan, misalnya guru pencen atau berhenti.

Radzi berkata, Kelantan juga kekurangan guru bagi subjek kritikal iaitu Bahasa Inggeris masing-masing lebih 400 orang guru bagi Sekolah Kebangsaan (SK) dan lebih 200 guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts