Selasa, April 20, 2021

Ibu bapa perlu bantu anak capai kecemerlangan

 

Persekitaran masalah pembelajaran malah mungkin harapan ibu bapa yang tinggi kepada anak-anak sebenarnya mampu memberi tekanan perasaan kepada anak-anak.

Hal ini akan lebih mengganggu jika membabitkan murid sekolah rendah yang belum mampu mengendalikan emosi malah ada kala tidak pun berpeluang untuk menyuarakan pandangan.

Dalam mengejar kecemerlangan akademik anak, seharusnya ibu bapa bersikap wajar dan sama-sama membantu mereka.

Bagi Pakar Kepimpinan Diri, Keluarga dan Organisasi, Dr Azuraida Shahadan, berkata murid dalam lingkungan usia itu seharusnya dibantu bagi mengawal dan mengatasi masalah dihadapi.

"Bagi murid sekolah rendah, kita boleh mengesan masalah tekanan yang dihadapi apabila mula kurang bermotivasi belajar. "Selain itu mereka seakan-akan putus harapan dan hilang semangat.

"Ada banyak faktor yang boleh menyebabkannya dan tentu saja masalah pelajaran adalah satu daripadanya," katanya.

Tegas Azuraida, keadaan semasa hari ini juga boleh membantu masalah tekanan murid. Kaedah pembelajaran dalam talian, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan risiko keselamatan dari sudut pencegahan jangkitan COVID-19 juga boleh menjadi punca tekanan.

Katanya, keadaan negatif ini jika tidak dikawal boleh menyebabkan masalah mental yang mencetuskan masalah kemurungan dan memberontak. Dalam membantu murid belajar katanya, mereka perlu dibimbing bermula dengan mengenalpasti gaya belajar mereka sama ada audio, visual atau kinestatik.

Kaedah begini tambah Azuraida adalah sebahagian program terapi minda iaitu, cara untuk mengawal dan mengatasi tekanan perasaan. Hal ini ada hubung kaitnya dengan minda itu sendiri.

"Gaya belajar audio biasanya, murid gemar sesi pembelajaran dan membuat ulangkaji dengan mendengar semula rakaman berkenaan.

"Kalau gaya visual, murid biasanya lebih mudah menguasai topik dengan membuat peta minda, lakaran dan gambaran apa dipelajari mereka.

"Kinestatik, murid perlu mengelakkan pembelajaran menghadap dinding dan sentiasa mengambil masa untuk berehat," katanya.

Tegas beliau, dalam menjayakan terapi minda ini perlu sokongan ibu bapa disebabkan dalam lingkungan usia meningkat remaja, anak memerlukan mentor dan seseorang dipercayai yang boleh menjadi pendengar luahan mereka.

"Ibu bapa boleh menggunakan formula ABCDE dalam membantu anak melakukan Terapi Minda, iaitu Awasi, Bantu, Cakap, Dengar dan Elak Menilai.

"Bagi menjayakan formula ini, ibu bapa perlu sentiasa; A iaitu awasi perubahan tingkah laku, percakapan dan emosi anak; bantu anak untuk faham bahawa mereka kena terima suatu perkara tersebut sebagai takdir; selain cakap dengan anak apa keputusan terbaik boleh diambil mereka demi kebaikan masa depan.

"Pastikan kita sebagai ibu bapa, dengar penjelasan anak dan E iaitu elak menilai sehingga mereka habis berbicara serta letakkan diri di tempat mereka," katanya.

Katanya, ibu bapa perlu mengakhiri perbualan dengan sebuah senyuman, dakapan dan terapkan di minda anak supaya mereka percaya diri boleh berjaya.

Namun, hal yang penting juga murid perlu menetapkan di fikiran untuk sentiasa positif serta yakin kehebatan diri.

Dipetik dari Berita Harian

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts