Cara Sejukkan Rumah Pasang Kertas Aluminium



Kebanyakan penghuni yang mendiami rumah jenis teres, banglo mahupun lot persendirian, salah satu cara menurunkan suhu panas adalah dengan memasang turbine ventilator di bumbung.

Ianya kerana dipercayai berfungsi mengeluarkan haba panas yang terperap di dalam rumah ke luar, sekaligus mungkin dapat memberikan suhu yang selesa.

Namun tahukah anda, memasang turbine ventilator sahaja semata-mata tanpa disertakan sekali kertas aluminium pada siling rumah itu tidak akan mengubah apa-apa?

Mari ikuti perkongsian tentang kepentingan kertas aluminium oleh kontraktor, Lee Wai Wan dalam group Facebook Tukang Apa Hari Ini (TAHI) di bawah ini. 

Hari ini kita bercakap tentang fungsi kertas aluminium dengan turbine ventilator.

Sesuatu bangunan akan mengalami panas di dalam bangunan tersebut atas faktor kedudukan mata angin sama ada menghala bahagian utara, selatan, timur atau barat. Jenis bangunan turut mempengaruhi pendedahan terhadap cahaya matahari pada waktu pagi dan petang.

Fokus kita pada hari ini adalah pada sebuah rumah teres satu (1) tingkat yang menghala utara di bahagian depan dan selatan di bahagian belakang rumah.

Maka punca haba panas dalam rumah ini hanya dari atap genting. Saiz bumbung ini adalah sebesar 1,220 kaki persegi. Ketinggian bumbung dari siling adalah lebih kurang 15'.

Rumah ini telah dipasang dengan empat (4) unit turbine ventilator yang bersaiz 24". Namun begitu, walaupun tuan tumah dapat merasakan terdapat perbezaan sedikit dari sebelum ini tetapi masih boleh merasakan haba panas yang masih terperangkap di dalam rumah tersebut.

Untuk pengetahuan anda, turbine ventilator adalah berfungsi untuk menyedut haba panas di bawah atap genting dalam bumbung. Saiz bumbung yang besar yang disinari matahari pada waktu pagi dan petang menyebabkan atap genting menyerap haba dan seterusnya memanaskan ruang di atas siling.

Dalam kes ini, walaupun telah dipasang empat (4) unit turbine ventilator, ia tidak sempat menyedut keluar haba dengan kadar yang cukup cepat, menyebabkan ruang di atas siling masih panas yang boleh mencecah sehingga 48.9°C apabila suhu permukaan atap genting mencapai sehingga 60.6°C manakala suhu permukaan siling mencecah sehingga 40.5°C.

Kertas aluminium ada pelbagai jenis di dalam pasaran. Ada yang dipanggil satu (1) lapisan manakala ada jenis dua (2) lapisan. Manakala dari segi ketebalan kertas aluminium pula ada yang jenis 6 mil sehinggalah 5 mm dan di bahagian tengah pula ada yang jenis woven, kraft paper, bublepak, PE cross-linked foam dan sebagainya.

Manakala ada juga jenis kertas aluminium yang diperbuat dari plastik yang dikenali sebagai aluminium film atau metalised foil. Keberkesanan jenis metalised foil adalah tidak setinggi kertas aluminium tulen.

Bagaimana kertas aluminium berfungsi?

Kertas aluminium berfungsi untuk memantulkan segala benda yang bergerak melalui gelombang elektromagnatik. Salah satunya adalah haba panas dari matahari.

Pemasangan kertas aluminium di bawah atap bumbung untuk rumah yang sedia ada adalah di bawah batten yang menghalang penyerapan haba serta memantulkan haba panas dari matahari.

Setelah rumah teres ini dipasang dengan kertas aluminium, udara persekitaran di dalam rumah telah berjaya diturunkan hampir sebanyak 3°C iaitu dari 33.1°C ke 30.5°C.

Maka selepas pemasangan kertas aluminium, dapat dirasakan perbezaan suhu di dalam rumah di mana tuan tumah boleh menikmati keadaan yang lebih selesa berbanding dengan sebelum ini. Sekiranya penghawa dingin dipasang, ia akan lebih cepat sejuk dan menjimatkan penggunaan elektrik.

Disertakan di bawah adalah rekod suhu permukaan dan suhu persekitaran untuk rujukan. Meter hitam di dalam gambar menunjukkan suhu permukaan manakala meter putih menunjukkan suhu persekitaran.

Maaf atas watermark yang terpaksa diletakkan untuk mengelakkan penyalahgunaan gambar.
Perbezaan suhu sebelum & selepas dipasang kertas aluminium

Suhu panas di bawah siling rumah direkodkan terlebih dahulu pada hari pertama sebelum kertas aluminium dipasang.

Setelah suhu sebelum diambil, maka kerja-kerja pemasangan kertas aluminium pada siling dijalankan.

Bagi membuktikan kertas aluminium mampu menghalang haba dan menurunkan suhu, maka bacaan suhu direkodkan sekali lagi.

Sumber : Siakap Keli

You Might Also Like

0 Comments

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.