Netflix turunkan harga langganan di Malaysia

Februari 21, 2023


Netflix menyemak semula harga Pelan Asas di Malaysia daripada RM35 sebulan kepada RM28 sebulan.

Dalam satu kenyataan hari ini, penyedia perkhidmatan langganan video 'over-the-top' itu berkata, matlamatnya adalah untuk menawarkan pilihan meluas filem dan tayangan berkualiti, disusun khas untuk pelanggan.

Katanya, ahli baharu yang melanggan akan menikmati harga baharu bagi Pelan Asas itu berkuat kuasa serta merta, mulai hari ini.

Ia berkata, kemaskini akan dibuat kepada pelanggan sedia ada dalam beberapa minggu akan datang bagi kitaran bil berikutnya.

"Pelanggan sedia ada akan diberitahu melalui e-mel dan masa sebenar akan bergantung kepada kitaran bil spesifik ahli," katanya.

Harga langganan itu adalah yang terendah pernah ditawarkan bagi Pelan Asas itu setakat ini, memandangkan kategori itu ditetapkan pada harga yang lebih tinggi iaitu RM33 semasa Netflix membuat kemunculan sulungnya di negara ini pada 2016.

Pengumuman harga baharu itu juga adalah satu lagi kemas kini utama yang dilaksanakan Netflix terhadap Pelan Asas untuk pelanggan di negara ini.

Pada November lalu, ia meningkatkan resolusi output kepada 720p HD bagi pelanggan Pelan Asas, berbanding dengan 480p SD sejak perkhidmatan itu dimulakan di negara ini.


You Might Also Like

0 Comments

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.