Sejarah demokrasi berparlimen di Malaysia

November 25, 2022

 


Malaysia mengamalkan demokrasi perwakilan atau lebih tepat lagi, demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. 


Dalam sistem ini, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mengetuai ketiga-tiga badan pemerintahan, iaitu perundangan (legislatif), pentadbiran (eksekutif) dan kehakiman (judisiari). YDPA juga memerintah berpandukan Perlembagaan Persekutuan.


Walau bagaimanapun, monarki di Malaysia bukanlah monarki mutlak. YDPA mempunyai batas kuasanya yang tersendiri, iaitu peruntukan-peruntukan  tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebab itu, sistem itu dikenali sebagai Raja Berperlembagaan.

Parlimen pula merupakan institusi terpenting dalam sesebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi. Di Parlimen, segala hal ehwal kerajaan dan negara seperti belanjawan dan rang undang-undang akan dibahaskan oleh menteri-menteri yang dipilih melalui pilihan raya. Komponen parlimen terdiri daripada YDPA, Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Berikut merupakan peristiwa-peristiwa yang membawa kepada pembentukan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen di Malaysia, mengikut kronologinya.

  • 1867

Majlis Perundangan Negeri-Negeri Selat ditubuhkan berikutan perpindahan pentadbiran Negeri-Negeri Selat (NNS) iaitu Pulau Pinang, Singapura dan Melaka dari Syarikat Hindia Timur Inggeris ke Pejabat Kolonial.

Mohammad Eunos Abdullah merupakan orang Melayu pertama menganggotai Majlis Perundangan NNS. Majlis perundangan ini merupakan institusi pertama di Malaysia (Tanah Melayu) yang mengadakan perbahasan dan perbincangan seperti ciri-ciri Parlimen moden.

  • 1896

Pada tahun ini, negeri-negeri Melayu iaitu Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan membentuk Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB). Pembentukan ini mendorong ke arah pembentukan satu sistem kerajaan Persekutuan yang melibatkan seluruh negara seperti sekarang.

Ketika itu, Badan Perundangan Pusat masih belum ditubuhkan. Jadi, setiap negeri perlu bergantung kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing untuk menggubal undang-undang.

  • 1909

Pada tahun 1909, satu persetujuan telah dicapai antara Pesuruhjaya Tinggi NNMB dengan Raja-raja NNMB untuk membentuk Majlis Persekutuan. 

Ahli-ahli mesyuarat ini terdiri daripada Pesuruhjaya Tinggi, Residen Jeneral British, Sultan Perak, Sultan Selangor, Sultan Pahang dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Residen Perak, Residen Selangor, Residen Pahang dan Residen Negeri Sembilan dan 4 orang ahli tidak rasmi yang dilantik oleh Pesuruhjaya Tinggi. 


Penubuhan majlis ini merupakan satu langkah ke arah pemerintahan sistem demokrasi berparlimen.

  • 1927

Pada tahun 1927, Majlis Mesyuarat Persekutuan telah distruktur semula untuk mengemaskan tadbir urus Persekutuan dan mengukuhkan kedudukan British di negeri Melayu. Raja-raja di NNMB tidak lagi menjadi ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan. 

Penyusunan semula Majlis Mesyuarat Persekutuan ini turut mengubah keanggotaannya menjadi 13 orang ahli rasmi dan 11 orang ahli tidak rasmi. 

  • 1942

Sekitar tahun ini, Jepun mula menapak dan menjajah tanah Melayu sehingga tahun 1945. 

Kehadiran Jepun telah menjejaskan usaha penggubalan Perlembagaan Persekutuan.

  • 1946

Sebuah Majlis Penasihat (Advisory Council) dibentuk dan dianggotai oleh 13 orang ahli mewakili Negeri-Negeri Melayu (NNM) dan dua NNS iaitu Melaka dan Pulau Pinang.

Pada awalnya, British cuba menyatukan ketiga-tiga sistem pentadbiran iaitu NNMB, Negeri Melayu Tidak Bersekutu (NMTB), NNS yang terdiri daripada Pulau Pinang dan Melaka melalui rancangan Kesatuan Malaya (Malayan Union) namun ditentang orang Melayu.

  • 1948

Penentangan terhadap Malayan Union menyebabkan tercetusnya Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Melalui perjanjian ini, Majlis Penasihat digantikan dengan Majlis Perundangan Persekutuan. 

  • 1951

Sistem Ahli dalam sistem kerajaan berkabinet atau Jemaah Menteri yang masih digunakan diperkenalkan pada tahun ini. Dalam sistem ini, ahli-ahli diberikan beberapa portfolio atau tugas-tugas yang menjadi tanggungjawab mereka.

  • 1952

Raja-Raja Melayu telah menghadiahkan sebuah cokmar kepada Majlis Perundangan Persekutuan. Cokmar tersebut menjadi simbol kuasa Kerajaan Persekutuan yang berparlimen, berdemokrasi dan berperlembagaan.


Cokmar itu akan dipersembahkan oleh wakil Raja-raja Melayu di upacara pembukaan persidangan Majlis Perundangan yang dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi, Sir Gerald Templer.

  • 1953

Pesuruhjaya Tinggi berhenti mempengerusikan Majlis Mesyuarat Persekutuan dan digantikan dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Mahmud Mat sebagai tanda penghargaan sumbangan yang dicurahkan beliau kepada Tanah Melayu.

Secara tidak langsung, Mahmud menjadi speaker pertama bagi Majlis Perundangan Persekutuan.

  • 1955

Majlis Perundangan Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dibubarkan bagi memberi laluan kepada kerajaan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum buat pertama kali. 

PRU ini diadakan untuk memilih Jemaah Menteri bagi mewakili rakyat di Majlis Perundangan Persekutuan.


Ahli Majlis Perundangan Persekutuan kemudian bertambah kepada 98 orang iaitu 52 orang yang dipilih melalui pilihan raya umum dan 35 orang ahli yang dilantik mewakili kepentingan-kepentingan tertentu serta 11 orang lagi terdiri daripada Menteri Besar dan wakil-wakil negeri.

  • 1956

Perdana Menteri Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman, mengetuai satu misi ke London untuk menuntut kemerdekaan.

Hasil rundingan tersebut, Perjanjian London telah dimeterai antara Raja-Raja Melayu, Parti Perikatan dengan kerajaan British dan British bersetuju untuk memerdekakan Tanah Melayu pada Ogos 1957.


Kerajaan British bersetuju terhadap cadangan Tanah Melayu untuk menjadi sebuah kerajaan sendiri dan bertanggungjawab sepenuhnya dalam hal ehwal dalam negeri dimulakan dengan serta merta.

  • 1957

Sebuah perlembagaan bagi Tanah Melayu telah digubal oleh badan bebas terdiri daripada pakar undang-undang beberapa buah negara Komanwel yang diketuai oleh Lord Reid. Perlembagaan yang digubal akhirnya diterima sebulat suara oleh Majlis Perundangan Persekutuan. 

Tunku Abdul Rahman kemudian dilantik sebagai Perdana Menteri yang pertama dengan Jemaah Menteri seramai 12 orang.


Pada 31 Ogos 1957, pengisytiharan kemerdekaan secara rasminya diadakan di Dataran Merdeka. Majlis Perundangan Persekutuan menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah Dewan Parlimen sehingga dibubarkan pada Jun 1959.

  • 1959

Berikutan satu lagi pilihan raya umum, sistem Parlimen yang mengandungi institusi YDPA, Dewan Negara dan Dewan Rakyat dibentuk.

Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Pertama juga diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman pada 11 September 1959. Dewan Rakyat dengan 104 orang ahli yang dipilih rakyat melalui pilihan raya mula bersidang buat pertama kalinya pada hari itu. 

Dewan Negara yang mengandungi 38 orang ahli yang dilantik juga bersidang pada hari yang sama. Pada tahun ini, sistem pemerintahan demokrasi berparlimen mula berfungsi dan berkhidmat di tanah air yang merdeka.

  • 1961

Tunku Abdul Rahman mengusulkan untuk menyatukan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Cadangan beliau kemudian menerima kelulusan daripada Dewan Rakyat pada 18 Oktober 1961. 

Tunku Abdul Rahman kemudian berjumpa dengan Perdana Menteri Great Britain untuk berunding berkaitan penubuhan Malaysia dengan penggabungan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Kedua-dua pihak akhirnya bersetuju dengan cadangan penubuhan Malaysia dan nama Tanah Melayu tidak lagi digunakan sejak itu.

  • 1962

Suruhanjaya Cobbold di bawah pimpinan Lord Cobbold ditugaskan untuk mendalami pendapat rakyat Sabah dan Sarawak mengenai cadangan untuk penyertaan negeri tersebut ke dalam Malaysia.

Setelah diperhatikan, sebahagian besar rakyat Sabah dan Sarawak bersetuju dengan konsep Malaysia yang dibentangkan dan akhirnya Penyata Suruhanjaya Cobbold diterima.

  • 1963

Persekutuan Tanah Melayu, United Kingdom dan Ireland Utara, Singapura, Sabah dan Sarawak telah bersetuju dengan terma Perjanjian Malaysia. DUN Singapura, Sabah dan Sarawak telah meluluskan resolusi yang membolehkan pelaksanaan penubuhan Malaysia. 

Pengisytiharan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat secara rasminya diumumkan pada 16 September 1963.


Dewan Rakyat ketika itu dianggotai oleh 159 orang ahli iaitu 104 orang dari Tanah Melayu, 16 orang dari Sabah, 24 orang dari Sarawak dan 15 orang dari Singapura. Manakala Dewan Negara pula mempunyai 50 orang ahli iaitu 28 orang mewakili 14 Dewan Undangan Negeri dan 22 orang yang dilantik oleh YDPA.


YDPA ketiga iaitu Tuanku Syed Putra ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail merasmikan pembukaan bangunan Parlimen yang terletak berhampiran Taman Tasik Perdana pada 2 November 1963. 


Parlimen pertama dibubarkan pada 1 Mac 1964 dan pilihan raya umum kedua diadakan pada 25 April 1964. 


Berikutan dengan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dilaksanakan secara berterusan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, bilangan kerusi Dewan Rakyat terus meningkat sehingga kepada 222 kerusi pada Parlimen yang ke-12. 


Sumber : RELEVAN



You Might Also Like

0 Comments

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.