Tangkap layar e-LKM masih diguna pakai

April 04, 2024


IPOH: Tangkap layar menerusi aplikasi MyJPJ khususnya pada bahagian Lesen Kenderaan Motor (e-LKM) atau cukai jalan masih diterima pakai oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) biarpun fungsi baharu membabitkan perkongsian LKM sudah ditambah pada aplikasi berkenaan sejak 2 Januari lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, tidak timbul isu risiko paparan tangkap layar boleh dimanipulasi atau disunting memandangkan maklumat itu boleh juga disemak oleh penguat kuasa sekiranya timbul keraguan sewaktu pemeriksaan dijalankan.

"Kita selaku agensi penguat kuasa boleh semak kalau kita rasa ada keraguan. Kalau dahulu pun LKM (fizikal) boleh sahaja orang buat juga (palsukan), jadi ia sama sahaja.

"Kalau kita rasa ragu-ragu, kita agensi penguat kuasa boleh semak maklumat kenderaan itu (di situ juga). Jadi tiada masalah," katanya kepada pemberita sewaktu lawatan pelaksanaan cetakan slip pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (e-LLM) di Pejabat JPJ@UTC Ipoh di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak.

Pada 2 Januari lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan orang awam boleh membuat perkongsian e-LKM menggunakan fungsi baharu iaitu 'Kongsi LKM' di aplikasi MyJPJ.

Melalui fungsi itu pemilik kenderaan boleh berkongsi e-LKM kepada individu lain yang dibenarkan oleh pemilik kenderaan.

Sementara itu, Aedy Fadly berkata JPJ dalam proses mengganti dan menambah baharu peralatan berupa peranti berteknologi tahun ini bagi tujuan penguatkuasaan sebagai menyokong inisiatif pendigitalan secara berperingkat terutama membabitkan LKM dan LMM.

"Contohnya kalau membabitkan pemeriksaan lesen, di peringkat JPJ kita gunakan unit Peranti Penguatkuasaan Pengurusan Pintar (SmED) untuk menyemak maklumat secara dalam talian, jadi kita akan tambah baharu," katanya.

Menurutnya, penggunaan slip pembaharuan e-LMM sudah dilaksanakan di tujuh negeri iaitu Perak, Johor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Terengganu, Kelantan dan Selangor, dengan slip pembaharuan LMM hanya membabitkan urus niaga pembaharuan Lesen Memandu Kompeten (CDL) sahaja.

Dalam pada itu, Aedy Fadly berkata berdasarkan kajian dan analisa statistik JPJ sepanjang tahun lalu, bilangan pemandu dan pemilik yang memilih digitalisasi semakin meningkat.

You Might Also Like

0 Comments

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.