Perkara wajib yang perlu dilakukan sebelum balik kampung

 


Ada beberapa perkara yang perlu dilakukan sebelum kita balik kampung.

  1. Semak semula barang yang ingin dibawa
Disebabkan ada banyak barang yang ingin dibawa pulang ke kampung, ada kemungkinan akan tertinggal beberapa barang penting. Lebih-lebih lagi jika anda mempunyai ahli keluarga yang ramai, ada sahaja yang tertinggal nanti. 
  • - Baju raya, butang baju melayu dan aksesori lain
  • - Telekung, kain pelikat dan sejadah
  • - Alat mandian termasuk tuala
  • - Alat solek
  • - Alat-alat elektronik (pengecas telefon, power bank, plak sambungan dan fon telinga)
  • - Kuih raya
  • - Sampul duit raya
  • - Ubat-ubatan
  • - Snek
Jika ingin memudahkan urusan, kemaskan barang-barang mengikut kategori iaitu apa yang perlu dicapai dalam kereta sepanjang perjalanan dan apa yang boleh disimpan dalam bonet kereta.

Contohnya, power bank dan fon telinga mungkin diperlukan untuk menghilangkan bosan sepanjang perjalanan. Letakkan barang-barang yang diperlukan sepanjang perjalanan dalam beg berasingan dan mudah dicapai.

Besar kemungkinan, kesesakan jalan raya akan berlaku dan perjalanan yang biasanya mengambil masa selama dua hingga tiga jam akan menjadi lebih lama. Jadi, bawa bersama bantal atau selimut untuk tidur dalam kereta dengan selesa.

  1. Buat pemeriksaan kenderaan
Sebelum memulakan perjalanan bersama orang tersayang, pastikan kereta anda diperiksa dan diservis untuk mengelakkan sebarang kerosakan.

Periksa tayar, enjin, bateri, brek dan lampu kereta untuk memastikan perjalanan yang selamat dan bebas tekanan. Sedikit usaha yang dibelanjakan untuk servis kereta sebelum perjalanan raya boleh memastikan perjalanan yang lebih selamat dan aman.

  1. Semak keadaan trafik
Kalau boleh, kita semua nak elakkan daripada tersangkut dalam kesesakan jalan raya yang menyeksakan. Jadi, anda boleh semak keadaan trafik di www.jalanow.com. Pilih lebuh raya yang berkenaan dan semak keadaan trafik dari masa ke masa.

  1. Tambah nilai 
Tambah nilai Touch ‘N Go sebelum memulakan perjalanan bagi memudahkan urusan. Bagi yang masih menggunakan kad TNG versi lama, anda boleh membuat tambah nilai di stesen minyak dan 7-Eleven.

Bagi kad TNG baharu yang menggunakan teknologi Near Field Communication (NFC), anda boleh membuat tambah nilai melalui aplikasi e-dompet TNG. Pastikan anda tambah nilai dalam amaun yang mencukupi.

Untuk mengetahui berapakah amaun tol yang dicaj, anda boleh semak di aplikasi navigasi Waze. Anda hanya perlu tetapkan destinasi dan pilih laluan yang akan digunakan. Amaun caj tol yang akan dikenakan tertera di setiap pilihan laluan.

  1. Muat turun aplikasi navigasi
Bagi mengelakkan sesat jalan, muat turun aplikasi navigasi seperti Waze dan Google Maps. Melalui aplikasi itu juga, anda dapat mengetahui keadaan trafik semasa termasuk sekiranya berlaku kemalangan dan kedudukan kamera perangkap laju (speed trap camera).

Selesai! Semoga kita semua sampai ke destinasi masing-masing dalam keadaan yang selamat dan aman. Pastikan anda semua memandu dalam keadaan yang selamat agar tidak merisikokan keselamatan ahli keluarga dan pemandu lain. 

Ingat, kalau mengantuk, berehat seketika di kawasan rehat dan dapatkan kopi atau minuman yang boleh menyegarkan mata. Jangan lupa juga untuk baca doa kenderaan. 

Sumber : RELEVAN

You Might Also Like

0 Comments

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.